Tuesday, June 16, 2009

ZIKIR YANG TERBAIK


Soalan – Hadis Nabi saw: (خير الذكر الخفي، وخير المال ما يكفي)[Sebaik-baik zikir yang perlahan, dan sebaik-baik harta yang mencukupi/Riwayat Jamaah] Adakah hadis ini sabit? Apakah maksud hadis ini?[1]


Imam Nawawi: Tidak sabit, maksudnya zikir yang khafi (perlahan) itu jauh dari riya’ dan ujub dan seumpamanya. Ia membawa maksud, kepada sesiapa yang takut berlaku riya’ dan ujub dan sebagainya di tempat tersebut, jika ia selamat dari gangguan itu maka zikir yang jahr (kuat/jelas) itu lebih utama. Adapun sebaik-baik harta yang mencukupi itu bermaksud kadar harta yang mencukupi dari fitnah kefakiran. Telah sahih bahawa Rasulullah saw bersabda: (اللهم اجعل رزق آل محمد قوتا) [Ya Allah jadikan rezki keluarga Muhamad qut] iaitu mencukupi atau menutup keperluan.


[1] Dinyatakan dalam Asnal Matolib: Hadis ini diriwayatkan oleh jamaah, didalamnya seorang perawi yang dipertikaikan. Dalam Fathul Kabir disebutkan : Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahih Ibnu Hibban, Al Baihaqi dalam kitabnya bawah tajuk Cabang Imam daripada Saad r.a

Berkata Imam Ibnu Hajar dalam fatwanya: Ditanyakan tentang kata-kata Imam Nawawi dalam Majlis Zikir (Syarah Muslim): “Zikir lidah dengan menghadirkan hati lebih utama dari zikir hati sahaja”. Bolehkah kita ambil dari pendapatnya itu apabila berzikir dengan hati tanpa lidah, ia mendapat kelebihan jika ada keuzuran ataupun tidak?

Adakah berzikir dengan hati tanpa sebutan lidah tanpa sebarang keuzuran akan mendapat kelebihan juga?

Maka berkata Tuan Imam: Zikir dengan hati tiada keutamaan padanya kerana zikir itu ibadat yang menggunakan sebutan lafaz, adapun ia mendapat keutamaan dengan menghadirkan maksud zikir tersebut yang menyucikan Allah swt di dalam hati, ia pendapat yang menggabungkan pandangan Imam Nawawi di atas dan pandangan golongan yang berkata “Zikir dengan hati tiada ganjaran (pahala) padanya”.

Mereka yang menafikan ganjaran pahala itu, mereka mengkehendaki agar zikir itu berlaku dengan lafaz (sebutannya), dan mereka yang berpendapat ia berpahala kerana mengkehendaki kehadiran hati ketika berzikir. Sebagaimana yang dinyatakan menghayati makna zikir itu penting, tiada beza samada wujud keuzuran dan sebaliknya. Wallahua’lam.

Pendapat aku pula : Jika dalil jelas menyatakan zikir dengan lisan, kecuali apa yang sabit dari latihan Ahli Naqsabandi (semoha Allah menyucikan rahsia mereka yang tinggi) bahwa zikir dengan hati lebih bermanfaat bagi murid, dan memberi kesan yang mendalam untuk menyinari hati dan menyegarkannya, membuang kelalaian dari mereka sebagaimana yang dikatakan oleh Tuan Arif Billah Amin Al Kurdi dalam kitabnya ‘Tanwirul Qulub’.

No comments:

Post a Comment