Soalan – Adakah Iman boleh bertambah dan berkurang?
Imam Nawawi: Mazhab kebanyakan dari kalangan ahli hadis, dan sebahagian ulamak ilmu kalam menyatakan bahawa iman itu bertambah dengan amalan yang taat dan berkurang dengan sebab amalan maksiat. Firman Allah swt: (وَيَزدَادُ الذينَ آمنُوا إيمانًا) [dan supaya orang-orang Yang beriman bertambah imannya…/Al Mudasir:31], (وَمَا زَادَهُم إلا إيمَانًا) [dan tiadalah ia menambahkan kepada mereka melainkan keimanan/Al Ahzab:32], (فَأمَّا الذينَ آمنُوا فَزَادَتْهُمْ إيمَانًا) [Adapun orang yang beriman ayat itu menambah iman mereka/At Taubah:124] dan banyak lagi ayat-ayat Al Quran yang seumpamanya.
Jumhur Ahli kalam pula berpendapat: Bahawa iman itu sendiri tidak bertambah atau berkurang, kerana iman sebelum sempurna adalah dinamakan syak atau kufur.
Berkata pula sebahagian sahabat kami: Bahawa Iman itu sendiri tidak bertambah atau berkurang, tetapi bertambah perkara yang berkaitan dengannya atau hasilnya. Inilah takwil terhadap ayat-ayat dan hadis tersebut. Adapun pendapat salaf adalah terang tentang bertambahnya iman.
Pendapat yang terpilih adalah keyakinan itu boleh bertambah dan berkurang, kurang bukan bermaksud ada ragu-ragu dan syak, bahkan bertambahnya iman bermaksud bertambah jauh ia dari menerima syak, ragu-ragu atau syubhah. Kurangnya iman membawa kepada perkara tersebut. Tidak syak lagi bahawa iman Abu Bakar As Siddiq r.a paling mampan dari sekelian manusia, dengan demikian beliau tanpa ragu-ragu menyatakan apa yang telah dinyatakannya pada malam Isra’, begitu juga apa yang dikatakannya pada peristiwa Hudaibiah[1], hinggakan sebahagian sahabat merasa pelik dan taajub dengan keimanannya.[2] Wallahua’lam.
[1] Ketika ramai kaum Quraiys melahirkan kehairanan dengan peristiwa Isra’, lalu diajukan hal tersebut kepada Abu Bakar r.a, maka berkatalah Abu Bakar r.a: “Jika yang berkata itu adalah Muhamad, maka betullah kata-katanya.” Mereka bertanya kembali: “Adakah engkau benar-benar mempercayainya?” “Aku mempercayainya walaupun lebih jauh (perjalanannya) dari itu.” Maka digelar beliau selepas itu dengan As Siddiq.
Dalam peristiwa Hudaibiah pula, ketika kaum Quraiys mengulurkan tangan perdamaian, dengan syarat-syarat yang terlalu berat hati para sahabat menerimanya, terutama syarat ketiga yang menghalang kaum muslimin bertawaf di kaabah pada tahun itu, ia suatu yang terlalu berat diterima oleh para sahabat, kerana Rasulullah saw telah memberitahu, baginda bermimpi melihat mereka bertawaf di kaabah dalam keadaan aman tanpa sebarang halangan, maka syarat itu menimbulkan sedikit keraguan pada hati para sahabat yang utama, hingga bertanya Umar Al Khattab r.a kepada Abu Bakar r.a tentang hal itu yang menyebabkan ramai sahabat yang resah dan keluh kesah, maka Abu Bakar menjawab dengan jawapan yang terus menghilangkan keraguan tersebut: “Adakah Rasulullah sw menyebutnya ia akan berlaku pada tahun ini? Wahai Umar!” Inilah dalil Abu Bakar r.a adalah yang paling mampan dan tetap imannya dan paling teguh keyakinannya.
[2] Berkatalah Ibnu Battal r.a: Barang siapa imannya tidak bertambah, maka imannya adalah berkurangan.
No comments:
Post a Comment