Monday, November 23, 2009

UMUR UMAT NABI MUHAMAD


Soalan – Hadis yang masyhur ((أعمار أمتي ما بين الستين إلى السبعين) [Umur umatku antara 60 ke 70 tahun/Tirmizi] Adakah hadis sahih? Adakah dinyatakan dalam mana-mana kitab? Siapakah perawinya dari kalangan sahabat?

Imam Nawawi r.a: Hadis ini hadis hasan, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah saw telah bersabda: (أعمار أمتي ما بين الستين إلى السبعين، وأقلهم من يجوز ذلك) [Umur umatku diantara 60 ke 70 tahun, dan tidak ramai yang melebihi daripada itu] Riwayat Imam Tirmizi.

Tuesday, November 3, 2009

Kerajaan Perpaduan Ala Indonesia

Oleh Ustaz Ir A Halim Abdullah
25 Oktober 2009

Indonesia dibawah pimpinan Presiden Susilo yang baru dipilih semula, sekali lagi memilih Kerajaan Perpaduan sebagai kenderaan negara dalam membina tamaddun bagi umat Islam di sana. Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang dianggotai oleh kesemua parti-parti yang berpengaruh dalam sesebuah negara. Pada kebiasaannya, bilangan jawatan menteri diagihkan mengikut prestasi keputusan pilihanraya masing-masing, lalu sama-sama membentuk Kabinet dan Exco untuk memimpin umat yang memilih mereka. Lawan kepada Kerajaan Perpaduan ialah Kerajaan Monopoli atau Kerajaan Satu Parti dimana parti yang memenangi majoriti kerusi atau undi melebihi 50%, walaupun hanya 51% akan membolot kesemua 100% jawatan-jawatan dalam Kabinet diperingkat pusat dan Exco diperingkat negeri, tanpa berkongsi kuasa dan jawatan walaupun parti-parti lain memenangi 49% kerusi atau undian dalam Pilihanraya. Contohnya seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang. Jika Barisan Nasional (BN) menang, ia akan membolot kesemua jawatan dalam Parlimen di Pusat atau DUN di negeri. Begitu juga jika Pakatan Rakyat di peringkat negeri di Kelantan, Kedah dan Selangor. Kerajaan Monopoli berlaku bila parti yang menang tidak mahu berkongsi kuasa dengan parti lain, atau mahu berkongsi tetapi pelawaan mereka ditolak oleh parti lawan yang kalah. Apabila PAS memenangi semula pilihanraya di Kelantan suatu masa dahulu, PAS mengajak UMNO mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Kelantan tetapi Presiden UMNO, Mahathir mengarahkan UMNO menolak tawaran tersebut dan menjadi 100% Pembangkang di sana.


Sebaik HAMAS (ditubuhkan tahun 1987) diumumkan memenangi Pilihanraya Umum Kedua Palestin pada 25.1.2006 lalu, Ketua Biro HAMAS, Khalid Masy’al dalam ucapan sulungnya mengajak semua parti dan calun bebas yang memenangi kerusi untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Palestin atau dalam bahasa Arabnya, Hukumah Wahdah Wataniah. Kesemua parti menyahut pelawaan tersebut kecuali FATAH, parti kedua terbesar di Palestin dan gerakan paling bersejarah (ditubuhkan tahun 1964) yang menguasai PLO sehingga ke hari ini. Keputusan pimpinan FATAH sentiasa dibayangi tekanan dan pengaruh Amerika, Eropah dan Israel.

Kelebihan membina tamaddun sesebuah negara menerusi kepimpinan Kerajaan Perpaduan ialah :

(1) Ukhuwwah dikalangan masyarakat lebih terpelihara dan kesatuan umat lebih dekat untuk dicapai. Masyarakat akan menganggap bahawa Pilihanraya adalah hanya satu proses memilih pimpinan yang terbaik berdasarkan prestasi parti masing-masing dalam Pilihanraya. Setelah tamat pilihanraya, parti-parti yang menang mendapat lebih jawatan manakala parti-parti selebihnya mendapat jawatan yang kurang tetapi turut bersama dalam Kabinet dan Exco. Apabila kesemua parti-parti yang terlibat bertaut dan bersatu kembali di dalam Kabinat dan Exco, ahli parti-parti berkenaan dan rakyat akar umbi di bandar dan desa juga akan bertaut, bersatu dan berbaik. Umat di sesebuah negara yang bersatu adalah lebih kuat dari umat yang bertelagah, kata mengata dan bercerai berai.

(2) Dalam Kerajaan Perpaduan, kesemua parti atau pihak dianggap bersama-sama dalam membangunkan negara dan menentukan agenda umat. Dalam Kerajaan Monopoli, pembangkang sering dituduh sebagai pengacau kepada perjalanan negara, samada semasa perbincangan dalam dewan lebih-lebih lagi didepan pengundi dan rakyat di bandar dan kampung. Banyak wang ringgit, tenaga dan fikiran diperuntukkan kearah melemahkan pihak lawan yang dianggap subversif. Adapun dalam Kerajaan Perpaduan, tanpa prejudis yang berlebihan dan tidak bertempat terhadap parti-parti yang kalah dalam Pilihanraya, fokus Kerajaan yang terbentuk berupa tenaga, fikiran dan wang ringgit boleh ditujukan kepada pembangunan keperibadian insan dan fizikal negara berkenaan, tanpa perlu ada rasa untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Erdogan & Abdullah Goul

Perdana Menteri Turki, Ricep Tayyib Erdogan (kanan) dan Presiden Turki Abdullah Ghaul setelah memenangi Pilihanraya Umum Turki telah membentuk Kerajaan Perpaduan, melibatkan parti-parti berpengaruh, mendapat sokongan rakyat dan mempunyai wakil-wakil rakyat dalam Parlimen. Aliran Erdogan di Malaysia memilih nama “Erdogan” yang sama, tetapi sikap dan strategi yang berbeza. “Erdogan Malaysia” menuduh pimpinan PAS yang pro-Kerajaan Perpaduan sebagai pro-UMNO, dan bukan pro-kesatuan umat Islam.

Kita mengucapkan syabas kepada rakyat Indonesia dan pimpinan mereka kerana memilih Kerajaan Perpaduan sebagai bentuk pemerintahan mereka. Prestasi mereka akan terus dinilai oleh semua pihak, kawan dan lawan, terutama oleh kita umat Islam di Malaysia. Masa telah lama tiba, sejak dahulu, untuk membangunkan negara Indonesia yang sememangnya negara paling berpotensi di kalangan Negara-negara Islam. Semua maklum, bahawa Indonesia hari ini terpaksa menanggung segala kelemahan dan keperitan pasca-Penjajahan dan era Kerajaan Monopoli di zaman Suharto/GOLKAR, dimana kekayaan negara dirompak, kebajikan rakyat diabaikan, akhlak masyarakat dirosakkan dengan rasuah, maksiat dan sebagainya, aqidah umat dicalar dengan berbagai falsafah dan kepercayaan bid’ah dan kufur. Namun pengalaman Jepun dan Amerika sendiri menunjukkan bahawa untuk memajukan material sesebuah negara sebenarnya tidak perlu mengambil masa yang panjang. Kedua-dua negara gergasi industri berkenaan hanya muncul setelah Perang Dunia KeDua, berbanding banyak negara-negara di Eropah yang telah mula lama membangun sejak zaman Revolusi Perindustrian tetapi agak keterbelakang pada hari ini. Kita percaya, jika baik perjalanan dan pentadbiran negaranya, Indonesia akan muncul sebagai salah satu kuasa dunia yang penting, insyaAllah.

Kebanyakan pemimpin parti di Malaysia menolak idea Kerajaan Perpaduan. Oleh itu mana parti yang menang dengan mendapat majoriti kerusi di Parlimen atau DUN walau sebanyak 51% kerusi, akan membolot kesemua 100% jawatan eksekutif Kabinet di Pusat dan Exco di Negeri. Pihak lawan yang kalah dalam Pilihanraya, walau mendapat setinggi 49% kerusi yang dipertandingkan akan kehilangan kesemua jawatan dalam Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri. Tiada pertautan semula dalam Kabinet dan Exco selepas Pilihanraya dikalangan wakil-wakil rakyat. Bagaimana pula dikalangan pengikut dan rakyat di akar umbi ? (Foto hiasan : Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Port Dickson).

Saya cuba-cuba memahami hasrat asal Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Pusat yang mahu mencapai Kerajaan Perpaduan. Jika UMNO dan PAS benar-benar berpadu, akar umbi masyarakat Melayu di bandar maupun di kampung, penyokong UMNO maupun PAS akan turut sama berpadu walaupun tahap kesatuan tersebut tidak setahap kesatuan sesama ahli parti itu sendiri. Bentuk ini juga yang diajak kearahnya oleh gerakan HAMAS di Palestin dihari pertama mereka memenangi 63% kerusi Parlimen di Pilihanraya 25.1.2006, walaupun masih gagal mencapainya hari ini kerana halangan dari Amerika dan Israel menerusi gerakan FATAH. Walaupun apa berbezaan dalaman dalam sesebuah organisasi dan negara, namun tidak ada disana pilihan selain memastikan kesatuan umat terus terpelihara terutama dizaman ini dimana hampir setiap negara menghadapi ancaman negara dan pengaruh luar yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menikam jasad umat Islam yang berpecah, lalu merobek aqidah dan akhlak mereka dengan mudah.


Pertemuan dan perbincangan diantara HAMAS dan FATAH. Walaupun mendapat halangan Amerika dan Israel untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Palestin, HAMAS dan FATAH telah banyak kali dapat duduk semeja untuk mencapai beberapa kesepakatan demi kepentingan rakyat dibawah mereka.

Pertemuan seperti ini sangat jarang kita lihat berlaku diantara UMNO dan PAS-PKR yang mewakili masyarakat Islam di Malaysia, sedang pimpinan parti-parti Cina di Malaysia sering bertemu dibawah anjuran Chinese Chambers of Commerce (CCC) dan lain-lain platform, keraian dan kesempatan. Adakah fenomena tidak duduk semeja ini hanya khusus terdapat pada orang-orang Islam – Melayu - Malaysia sahaja ?

Pengamatan saya yang dangkal ini, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Pusat, dalam hasrat asal mereka menuju ke arah Kerajaan Perpaduan, mereka terpaksa berdepan dengan keadaan-keadaan berikut :

(1) Keikhlasan UMNO yang dipersoalkan oleh ramai pemerhati. Adakah seruan kearah Kerajaan Perpaduan oleh Presiden UMNO, DS Najib Razak benar-benar untuk menyatukan orang Melayu Islam di Malaysia yang sedang berpecah yang lebih banyak melayan tuntutan pihak bukan-Islam demi meraih dan merai undi mereka ? Atau ia hanya perangkap atau usaha terdesak untuk cuba menyelamat UMNO yang sokongan rakyat terhadapnya kian terhakis, hampir lemas lalu mencari pelampung. Apabila pelampung datang hampir, pelampung akan ditenggelamkan agar kepala dan hidung dapat mucul semula dipermukaan dan boleh bernafas untuk terus menyambung hidup ? Pengalaman pahit seperti ini di Kelantan suatu masa dahulu masih segar dalam ingatan dan iktibar kepada TG Nik Aziz. “Seorang mukmin tidak dipatuk ular 2 kali dalam 1 lubang” (Hadis).

(2) DS Anwar Ibrahim dilihat ramai sebagai Perdana Menteri alternatif kepada DS Najib Razak atau mana-mana Presiden UMNO dewasa ini. Jika berlaku gabungan UMNO-PAS sahaja dalam menerajui Kerajaan Perpaduan, adakah disana ruang untuk pimpinan PKR boleh menerajui Kerajaan Malaysia dengan menduduki jawatan tertinggi ? Adakah seruan DS Najib kearah Kerajaan Perpaduan ala UMNO-PAS hanyalah sekadar untuk menyahkan DS Anwar dan bukan untuk benar-benar ber”padu” dalam ertikata yang sebenarnya.

DS Anwar Ibrahim pula memilih agar Pakatan Rakyat mesti mengalahkan Barisan Nasional terlebih dahulu sebelum apa-apa agenda baru seperti “Kerajaan Perpaduan” dan sebagainya dicapai. Sudah tentu tawar menawar politik (power bargaining) dengan Barisan Nasional mempunyai perbezaan ketika BN berkuasa berbanding dengan ketika ia tidak mempunyai kuasa. Ini sudah tentu. Cuma dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional di pilihanraya peringkat Parlimen dan DUN, sudah tentu banyak layanan terutama kepada pengundi bukan-Islam terpaksa diberi dan dalam banyak hal, jauh melebihi layanan terhadap permintaan pengundi Islam. Pemberian ~1000 ekar tanah di Perak, berbanding ~100 ekar di sana juga adalah salah satu contoh, tanpa perlu menyebut siapa yang mendapat durian runtuh berkenaan.

(3) Keputusan undi dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS menunjukkan ada 3 arus utama di dalam PAS iaitu yang dipelopori oleh Ustaz Nasharudin Ms Isa, Husam dan Mohd Sabu. Dari jumlah undi, ketiga-tiga arus menampakkan kekuatan yang hampir sama. Aliran Ustaz Nasharuddin atau “Aliran Kepimpinan Ulamak” menyokong hasrat penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kekuatan dan masadepan umat Islam di Malaysia. Perpecahan yang hanya kerana berlainan parti, memonopoli jawatan dalam Kabinet di pusat dan Exco di negeri selama ini lebih banyak menguntungkan pihak bukan-Islam yang licik berpolitik, dan merugikan pihak-pihak yang bertelagah terutama dikalangan umat Islam sendiri. Manakala “Aliran Erdogan” pula lebih memihak kepada strategi PKR pimpinan DS Anwar Ibrahim. Kenyataan Media 10 Wakil Rakyat PAS menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merupakan hasrat asal Presiden PAS sendiri agak menimbulkan tanda tanya kepada saya, walaupun arus ini mendakwa mendapat dokongan tokoh-tokoh PAS yang lain.


Generasi masadepan di Malaysia. Bentuk kerajaan manakah yang lebih baik untuk keagungan mereka di hari muka, Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Satu Parti ? Adakah Kerajaan Satu Parti atau saya istilahkan Kerajaan Monopoli yang diamalkan di Malaysia memberi lebih kebaikan kepada rakyat dan generasi masadepan atau memberi lebih menfaat kepada golongan tertentu ?

Isu politik “Kerajaan Perpaduan” di Malaysia telah berlalu dan banyak pihak telah mengutarakan pandangan atau keluhan hati masing-masing pada masa itu. Namun pembentukan Kerajaan Perpaduan oleh pimpinan rakyat Indonesia yang berlaku semalam tiba-tiba mengajak fikiran saya berfikir sejenak masadepan rakyat Indonesia. Ia juga turut mengajak saya merenung keadaan semasa dan masadepan rakyat Malaysia sendiri yang saya cintai, dimana pimpinan-pimpinan mereka secara rela atau terpaksa, menolak idea “Kerajaan Perpaduan”.

Semoga Allah swt memelihara kita semua, mengembalikan umat kepada kefahaman dan penghayatan Islam yang sahih, menyatu dan menguatkan mereka, serta menjadikan mereka semula sebagai pemimpin dan pembimbing dunia seperti umat-umat Islam yang terdahulu. Ameen.

Disalin dari http://inijalanku.wordpress.com

Sunday, June 28, 2009

BUNGA ROS


Soalan - Adakah sahih bunga ros berasal dari air peluh Nabi Muhamad saw? Atau dari air peluh Buraq (tunggangan Nabi saw pada malam diisra'kan)?

Imam Nawawi: Tiada yang sahih tentang hal tersebut.


MAIN CATUR


Soalan – Hadis saw: (من لعب بالشطرنج فهو ملعون )Sesiapa yang bermain catur maka dia dilaknat, adakah ia sahih?

Imam Nawawi: Hadis tersebut tidak sahih adapun yang sahih adalah larangan berjudi. Wallahua’lam


PENYANYI DAN MENDENGAR NYANYIAN


Soalan – Adakah sabit bahawa Nabi saw bersabda: (لعن الله المغنّي والمغنّى له ) [Allah telah melaknat penyanyi dan orang yang mendengar nyanyian], dan sabda Baginda: (الْغِنَاءُ يُنْبِتُ النِّفَاقَ فِى الْقَلْبِ كَمَا يُنْبِتُ الْمَاءُ الْبَقْلَ) [Nyanyian menimbulkan nifak (hipokrit) di dalam hati sebagaimana terbitnya air matair?/Al Baihaqi]

Imam Nawawi: Tiada hadis yang sahih tentang hal tersebut

Saturday, June 20, 2009

DASAR PERJUANGAN


Perjuangan perlu ada matlamat dan ilmu, perjuangan tanpa matlamat seperti lalang yang ditiup angin, tidak menentu hala tujunya dan senang diperkotak-katikkan oleh arus pandangan manusia. Tanpa ilmu juga perjuangan akan menjadi hangat-hangat tahi ayam. Bersemangat hanya apabila tidak puas hati dan sejuk bila dah lama atau telah dapat apa yang dikehendaki.

Perjuangan Islam tidak terhenti dengan kemenangan tetapi perjuangan Islam berlanjutan hingga ke hari akhirat. Perjuangan ini jihad sebab itu perlu kepada kesungguhan, kesungguhan beramal, kesungguhan menyampaikan dan mempromosikan idea-idea perjuangan. Jangan jadikan perjuangan sebagai kerja hujung minggu, seminggu sekali atau sebulan sekali. Perlu usahakan agar perjuangan ini jadi kerja harian, setidak-tidaknya sentiasa membawa borang keahlian atau edaran-edaran di dalam kereta dan seumpamanya, barulah layak dipanggil pejuang.

Taraf perjuangan ini sama dengan mengangkat senjata, tetapi kita hanya perlu mengangkat pen (undi) namun ia juga memerlukan kepeda strategi, usrah, organisasi dan berbagai-bagai lagi untuk memantapkan perjuangan dan memastikan kemenangan.

Asas perjuangan ini adalah aqidah Islam, bukan kerana ikut arus pandangan orang lain atau kerana wujudnya individu tertentu yang diminati1. Unsur ini juga pernah terjadi pada para sahabat r.a apabila Baginda saw wafat, ada sahabat yang enggan mengakui kewafatan tersebut sehingga kewafatan Baginda saw diumumkan sendiri oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a:

قَالَ أَبُو سَلَمَةَ فَأَخْبَرَنِى ابْنُ عَبَّاسٍ - رضى الله عنهما - أَنَّ أَبَا بَكْرٍ - رضى الله عنه - خَرَجَ وَعُمَرُ - رضى الله عنه - يُكَلِّمُ النَّاسَ . فَقَالَ اجْلِسْ . فَأَبَى . فَقَالَ اجْلِسْ . فَأَبَى ، فَتَشَهَّدَ أَبُو بَكْرٍ - رضى الله عنه - فَمَالَ إِلَيْهِ النَّاسُ ، وَتَرَكُوا عُمَرَ فَقَالَ أَمَّا بَعْدُ ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا r فَإِنَّ مُحَمَّدًا r قَدْ مَاتَ ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ( وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ) إِلَى ( الشَّاكِرِينَ ) وَاللَّهِ لَكَأَنَّ النَّاسَ لَمْ يَكُونُوا يَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الآيَةَ حَتَّى تَلاَهَا أَبُو بَكْرٍ - رضى الله عنه - فَتَلَقَّاهَا مِنْهُ النَّاسُ ، فَمَا يُسْمَعُ بَشَرٌ إِلاَّ يَتْلُوهَا .

‘Barang siapa dikalangan kamu yang menyembah Muhamad saw, maka Muhamad telah mati, tetapi barangsiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah Maha Hidup tidak mati selama-lamanya’[Riwayat Imam Bukhari/1242]. Sebahagian umat Islam juga ketika itu menjadi murtad enggan membayar zakat kerana mereka hanya membayarnya kerana Rasulullah saw masih hidup, apabila Baginda saw telah wafat mereka tidak lagi mengakui kewajipan tersebut.

Apa yang perjuangkan ini bertepatan dangan fitrah semula jadi manusia. Pernah seorang tua yang anti hukum hudud, apabila seorang ustaz bercerita tentang hudud lalu dia meninggalkan majlis sambil mengherdik penceramah yang tidak habis-habis menceritakan tentang hudud, apabila selesai ceramah ustaz tadi melihat orang tua tersebut masih di tangga surau termenung memikirkan sesuatu, lalu penceramah bertanya kenapa masih disitu dan belum lagi balik kerumah. Dengan marah pak cik tua menyatakan motornya telah dicuri kalau dia jumpa pencurinya pasti akan dipotongnya tangan pencuri tersebut. Lalu ustaz tersebut mengambil kesempatan menerangkan bahwa tindakan pak cik tadi yang ingin memotong tangan itulah yang dinamakan hudud dan itulah kehendak semulajadi manusia apabila berdepan dengan pencuri. Dan dapatlah difahami bahawa hukuman hudud itu adalah kehendak semulajadi manusia dalam menghadapi jenayah kemanusiaan.


*Kuliah Bulanan Ustaz Khairul Anwar Wafa (Ketua DPP NS) di Pejabat Pakatan Rakyat Juasseh 20 Jun 2009.



1 Seperti penyokong PAS meminati TG Nik Aziz / TG Haji Hadi, penyokong PKR kerana adanya DS Anwar dan sebagainya