Thursday, March 31, 2011

HUKUM MEROKOK

Darul Ifta (Majlis Fatwa) Mesir telah mengeluarkan hukum syarak tentang HARAM merokok. Fatwa ini diterbitkan pada 25 Jamadil Awal 1419 bersamaan 5 September 1999 menyebutkan:

Bahawa dari segi kajian ilmiah, telah sabit secara qatei’ sekarang ini dengan bahaya kemudharatan penggunaan tembakau kepada tubuh manusia, kerana banyak terdapat kemudharatan yang menimpa perokok dan orang-orang yang sekelilingnya selain dari pembaziran yang berlaku dan memang telah ditegah oleh Islam.

Allah telah berfirman: (Al Baqarah:195)

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

'Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'

Dengan itu maka merokok adalah haram dengan segala pertimbangan neraca syarak.

Mufti RepublikArab Mesir

Dr.Nasir Farid Wasil

SAKIT YANG MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

Imam Qusyairi ra menceritakan: ‘Ketika aku di Mekah aku berhajat menziarahi Syeikh Abdul Malik At Tobari ra, maka aku ditunjuki akan rumahnya dan aku pergi melawatnya, aku dapati beliau ketika itu sedang demam campak, apabila aku masuk dia mempersilakan duduk dan berkata’ : “Aku apabila demam aku rasa gembira dengannya, kerana nafsuku sibuk dengan sakit tersebut lalu tidak menghiraukan akan diri aku, maka ketika itu hati aku boleh berkhalwat dengan Tuhanku sebagaimana yang aku mahukan.”

MANUSIA TIDAK LAYAK MENGUJI TUHANNYA

Suatu hari iblis datang menemui Isa as, ‘Wahai Anak Maryam! Sesungguhnya kamu tidak akan ditimpa musibah kecuali yang telah tertulis untuk kamu’. “Ya benar kata-kata kamu wahai musuh Allah!” sahut Isa as. ‘Kalau begitu, cuba engkau panjat bukit ini dan terjun dari atasnya, cuba lihat adakah kamu akan mati?’ iblis menghasut Isa as. Lalu Isa as menjawab: “Wahai musuh Allah! Sesungguhnya hanya Allah swt yang layak menguji hambaNya, tetapi hambaNya tidak layak menguji Tuhannya.”

Wednesday, March 23, 2011

ISTINBAT YANG BAIK SEMASA PERLANTIKAN ABU BAKAR AS SIDDIQ RA

Disebut oleh Ibnu Adiy daripada Abu Bakr bin Ayyash ra, katanya: Khalifah Harun Ar Rasyid bertanya padaku: ‘Wahai Abu Bakr! Bagaimana para sahabat memilih Abu Bakr As Siddiq menjadi khalifah?’ Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Dalam hal tersebut, Allah telah diam, begitu juga Rasulullah saw telah diam dan orang-orang beriman dikala itu juga telah diam.”

‘Wahai Abu Bakr! Jawapan kamu lebih menambahkan kebingungan aku’ kata Khalifah Harun Ar Rasyid.

Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Ketika nabi saw telah sakit selama 8 hari, lalu Bilal bin Rabah ra masuk ke bilik Baginda saw dan bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah yang akan memimpin solat manusia?, lalu Baginda bersabda: Perintahkan Abu Bakr supaya mengimami manusia. Maka Abu Bakr telah menjadi imam selama 8 hari, sedangkan wahyu ketika itu masih turun, maka Rasulullah telah berdiam diri akan hal tersebut kerana diamnya Allah swt akan hal tersebut, dan seluruh orang-orang beriman ketika itu juga berdiam diri kerana diamnya Rasulullah saw akan hal tersebut.”

Khalifah Harun Ar Rasyid terlalu takjub dengan jawapan tersebut, lalu berkata: ‘Semoga Allah memberkati engkau wahai Abu Bakr!’.

MEMILIH PASANGAN YANG BAIK

Abu Wadaah bercerita: Aku sentiasa medatangi majlis ilmu Said bin Musaiyab ra, apabila aku tidak hadir majlis beberapa hari, suatu hari aku pun hadir, lalu dia bertanya: “Kemana kamu?” Aku berkata: “Isteriku yang meninggal dunia, maka sibuk sedikit,” lalu dia berkata: “Kenapa tidak beritahu kepada kami, maka boleh kami jenguk sekali,” lalu aku rasa seperti ingin bangun sahaja dari majlis tersebut. Kemudian dia bertanya: “Adakah kamu dah mencari ganti isteri kamu itu?” Aku menjawab: “Mudah-mudahan Allah rahmati engkau! Siapalah yang sudi untuk berkahwin denganku sedangkan aku hanya ada dua tiga dirham sahaja.” “Bagaimana kalau aku carikan adakah kamu mahu?” “Sudah tentu tuan” jawabku. Lalu dia mengucapkan tahmid dan selawat serta menikahkan aku dengan mahar dua tiga dirham tadi. Kemudian aku bangun dan tidak aku ketahui apa patut aku lakukan kerana kegembiraan, aku berlari menuju ke rumahku, dirumah aku berfikir dari mana aku boleh dapatkan duit atau meminjamnya utnuk perkahwinan itu. Aku bersiap untuk solat maghrib dan masak masakan untuk berbuka kerana aku sedang berpuasa, aku masak roti dan minyak, apabila aku ingin menyuapkan makananku, pintu rumahku tiba-tiba diketuk orang, aku tanya: “Siapa?” Lalu dijawab: “Aku Said,” lalu aku berfikir tentang semua kenalanku yang bernama Said tapi tidak terlintas difikiranku tentang Said bin Musaiyab ra, kerana biasanya beliau tidak akan kelihatan dalam 40 tahun aku mengenalinya melainkan dilaluan antara masjid dan rumahnya. Aku berdiri dan keluar membuka pintu, rupanya Said bin Musaiyab ra, apabila memang nyata beliaulah orangnya, aku berkata: “Wahai Abu Muhamad, kalau kau panggil aku bila-bila pun aku sedia datang.” “Tidak! bahkan engkaulah yang berhak aku kunjungi.” Jawabnya. “Kau nak suruh aku buat sesuatukah?” aku bertanya kembali. Said bin Musaiyab ra berkata: “Aku tengok engkau seorang lelaki yang bujang dan aku tidak suka melihat engkau tidur keseorangan pada waktu malam, ini aku bawakan isterimu kepada kamu.”

Ternyata dia seorang wanita yang tinggi dan cantik, lalu aku membawanya masuk dan menutup pintu, beliau pun tunduk dengan penuh malu-malu, aku tersandar pada daun pintu, lalu aku naik loteng rumahku dan memanggil jiran-jiranku, apabila mereka datang lalu bertanya akan hal aku? “Said bin Musaiyab ra telah mengahwinkan aku dengan anaknya”. jawabku, “Dia telah datang dengan keadaan aku tidak siap apa-apa, sekarang anaknya ada dalam rumahku,” lalu mereka menemuinya dan menyampaikan berita itu kepada ibuku, lalu ibuku datang dan berkata: “Aku tidak benarkan kamu bertemu dan menyentuh dia sebelum aku ajarkannya sesuatu dalam tiga hari.” Aku menunggu selama tiga hari barulah aku menemuinya, rupanya dia adalah secantik-cantik perempuan yang pernah aku temui, beliau wanita yang paling menjaga hafazan Al Qurannya, paling mengerti tentang hadis-hadis nabi, dan paling mengetahui akan hak-hak dan tanggungjawab seorang isteri.

Aku tinggal dirumahku selama sebulan, aku tidak hadir ke majlis Said bin Musaiyab ra dan dia juga tidak pernah menziarahi ku, setelah sebulan aku datang semula ke majlisnya, lalu aku memberi salam dan dia menjawabnya, dia tidak berkata apa-apa kepadaku hingga selesai majlisnya, apabila kami tinggal berdua sahaja, Said bin Musaiyab ra pun berkata kepadaku: “Apa khabarnya orang tu?” “Dia dalam keadaan disukai oleh kawan dan dibenci oleh musuh.” jawabku. “Kalau dia degil didik dia gunakan rotan” kata Said bin Musaiyab ra. Kemudian aku berangkat balik ke rumahku. Rupanya anak Said bin Musaiyab ra itu telah dipinang oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan untuk anaknya Putera Mahkota Walid, tetapi Said bin Musaiyab ra enggan mengahwinkannya.

Thursday, March 17, 2011

SIAPA AHLI FIQH?

Saidina Ali bin Abi Talib ra berkata: Ahli Fiqh yang benar-benar faham akan fiqh itu ialah :

· Ahli Fiqh yang tidak membiarkan manusia terputus dari rahmat Allah,

· Dia tidak meringankan manusia pada melakukan maksiat terhadap Allah,

· Dia tidak memberikan keselesaan kepada manusia dari azab Allah,

· Dia tidak membiarkan Al Quran diabaikan terbiar dalam segala perkara,

…..kerana tiada kebaikan dalam ibadat yang tidak disertai oleh ilmu, tiada manfaat pada ilmu yang tidak difahami, dan tiada manfaat pada membaca Al Quran jika tidak ditadabburkan (baca/kaji) isi kandungannya.

Wednesday, March 16, 2011

KELEBIHAN UKHUWAH

Imam Ali bin Husain ra berkata kepada seorang lelaki: ‘Adakah kamu mahu menyeluk saku seorang kawan kamu atau menyelongkar pakaiannya, lalu kamu ambil darinya apa-apa yang kamu mahu tanpa izinnya?’ “Tidak” jawab lelaki tersebut. ‘Maka hakikatnya kamu tidak berkawan pun dengannya.’

Abu Sulaiman Ad Daraniy pernah mengatakan: ‘Demi susungguhnya aku sanggup mengunyah makanan yang telah dikunyah oleh saudaraku, hingga aku terasa air liurnya dalam kerongkongku’

‘Jika bukan kerana bersahabat degan orang yang baik-baik, dan bermunajat dengan Allah swt di waktu sahur, nescaya aku tidak sudi hidup lama dimuka bumi ini’ kata Imam As Syafie ra.

‘Barang siapa mahu diberikan darjat qaswa pada hari qiamat, maka hendaklah dia bersahabat dengan siapa sahaja semata-mata kerana Allah’ Imam Abu Suud bin Abi Asyair berkata dalam satu ceramahnya.

Ali Al Khawwas pula pernah menyatakan: ‘Barangsiapa yang mahu sempurna imannya, dan baik sangkaan orang kepadanya, maka hendaklah ia berkawan dengan orang yang baik-baik sahaja.’

Abdullah bin Towuos berkata: Ayahku pernah memberikan nasihatnya: “Wahai anakku! Bersahabatlah dengan orang-orang yang bijak pandai, nescaya manusia akan menisbahkan kamu dari kalangan mereka itu walaupun kamu bukan dari kalangan mereka dan

Jangan pula kamu bersahabat dengan orang-orang yang bodoh kerana manusia akan menisbahkan kamu dari kalangan mereka, walau kamu bukan dari kalangan orang-orang yang bodoh."

Tuesday, March 1, 2011

BATASAN REDHA

Ditanya kepada Hasan bin Ali ra : Wahai Hasan! Abu Dzar pernah berkata:

‘Kefaqiran lebih aku sukai dari kekayaan dan sakit lebih aku sukai dari sihat’, maka berkatalah Hasan bin Ali: ‘Mudah-mudahan Allah merahmati Abu Dzar, adapun aku akan berkata: Barangsiapa dibebankan dengan kebaikan yang telah dipilih oleh Allah baginya, maka janganlah ia berharap hal keadaan yang lain dari pilihan Allah tersebut. Ini adalah batasan kita berhenti untuk redha dengan ketentuan Qada’ dan Qadar Allah.’

Saidina Ali ra Dan Empat Perkara

Suatu hari Hasan bin Ali ra masuk kerumah dalam keadaan menangis menemui bapanya, lalu Saidina Ali bin Abi Talib ra berkata kepadanya:

“Wahai anakku! Kau tolong jaga empat perkara ini dariku dan empat perkara seterusnya” “Apakah perkara itu ayahku?”

“Kekayaan yang paling mahal kita miliki adalah akal

“Kefakiran yang paling menyusahkan adalah kebodohan

“Keganasan yang paling menakutkan adalah sifat ujub” (hairan dengan kelebihan diri sendiri)

“Orang yang paling pemurah adalah yang berakhlak mulia”.

‘Apakah empat perkara lagi wahai ayah?’

“Janganlah berkawan dengan bodoh, dia hanya akan mengambil manfaat darimu dan menyusahkan kamu.”

“Jangan kamu berkawan dengan kaki pembohong, kerana dia akan mendekatkan kamu dengan orang yang sepatutnya kamu jauhi dan di akan menjauhikan kamu dengan orang yang sepatutnya kamu dekati”

“Jangan kamu berkawan dengan orang bakhil kedekut, kerana dia akan melatakkan kamu dalam keadaan yang lebih susuah dari keadaan kamu sekarang”

“Jangan kamu berkawan dengan orang yang jahat, kerana dia akan menjual kamu dengan sia-sia.”

LAGU DAN NYANYIAN


Imam Abi Othman Al Laithi ra menceritakan ucapan Yazid bin Naqies ra:

‘Wahai Bani Umaiyah! Jauhilah nyanyian, kerana nyanyian itu mengurangkan malu seseorang, menambahkan keinginan syahwat seseorang, menghancurkan maruah seseorang, ia mendorong kepada arak yang memabukkan, maka kamu akan berkelakuan seperti orang yang mabuk, jika kamu tidak mampu menghindari nyanyian, maka hindarilah penyanyi perempuan, kerana nyanyian penyanyi perempuan itu mengundang kepada zina.’

SELAMAT DARI KEBENCIAN MANUSIA

Imam Ahmad bin Hanbal ra bertanya kepada Hatim Al Asham: ‘Ceritakan kepadaku wahai Hatim bagaimana mahu berlepas diri daripada kebencian manusia?’

“Wahai Abu Abdullah! Jika kamu mahu berlepas diri daripada kebencian manusia dengan TIGA jalan”:

‘Kamu beri mereka harta kamu dan jangan minta sesuatu dari harta mereka’

‘Kamu tunaikan segala hak mereka, dan jangan kamu meminta mereka menunaikan hak mereka’

‘Kamu pikul segala kepayahan mereka dan jangan kamu pikulkan/paksakan sesuatu kepada mereka’

Lalu Imam Ahmad berseloroh dengan mencucuk jari ketanah, kemudian mengangkat kepala seraya berkata: ‘Terlalu berat kalau begitu’

Maka Hatim Al Asham menyambut: “Kalaulah kamu dapat menerimanya! Kalaulah kamu dapat menerimanya! Kalaulah kamu dapat menerimanya!”