Friday, April 1, 2011

KEBERKATAN PASANGAN YANG SOLEH

Dihikayatkan dari Mubarak ayah kepada Abdullah bin Mubarak ra:

Bahawa dia telah bekerja di sebuah ladang Delima untuk tempoh yang cukup lama, maka pada suatu hari tuan ladang tersebut datang melawatnya, beliau merupakan seorang pedagang di Kota Hamadzan, apabila sampai di ladang lalu dia berkata kepada Mubarak: ‘Wahai Mubarak! tolong bawakan untuk aku buah delima yang manis,” Lalu Mubarak pergi ke beberapa batang pokok delima dan memetik buahnya. Kemudian beliau mempersembahkannya kepada tuannya. Tuannya terus memecahkan buah delima tersebut dan memakannya, ternyata buah itu masam, lalu ia berteriak kepada Mubarak: “Aku minta buah delima yang manis tapi kau bawakan yang masam! bawakan satu lagi yang manis!” perintahnya kepada Mubarak. Lalu Mubarak pergi memetik beberapa biji lagi dan memberikan kepada tuannya, apabila tuannya memakan delima tersebut, ternyata buah itu juga masam rasanya, bertambah beranglah tuan ladang tadi kepada Mubarak, lalu diperintahkan kepada Mubarak perkara yang sama berlaku buat kali ketiga, ternyata buah yang dipetik tetap masam, lalu tuannya bertanya kepada Mubarak: “Apakah kamu tidak kenalkah buah mana yang manis dan buah mana yang masam?” “Tidak tuan” jawab Mubarak. “Kenapa?” soal tuannya kembali. “Sebab aku tidak pernah memakannya” jawab Mubarak. “Kenapa engkau tidak pernah memakannya?” Tuannya bertanya kembali. “Kerana engkau tidak pernah mengizinkan aku memakannya.” jawab Mubarak. Maka kehairananlah si tuannya kerana ternyata Mubarak seorang pekerja yang cukup amanah, dan jujur dalam segala tindakannya. Ternyata Mubarak seorang lelaki yang amat istimewa pada pandangan tuannya.

Tuan ladang itu mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan telah kerap dipinang orang, tetapi beliau tidak pernah menerima pinangan tersebut, lalu dia bertanya kepada Mubarak: “Wahai Mubarak! Apakah engkau bersetuju jika aku kahwinkan engkau dengan anak gadisku?” Lalu dijawab oleh Mubarak: “Tuan! Orang jahiliyah mengahwinkan anak mereka kerana kedudukan (kebangsawanan), orang Yahudi pula mengahwinkan anak mereka kerana harta, manakala orang nasrani berkahwin kerana kecantikan dan umat ini diajarkan agar berkahwin kerana agama.” Maka bertambahlah ketakjuban tuan ladang itu kepada Mubarak kerana kehebatan akalnya, lalu anaknya dikahwinkan dengan Mubarak dan diberikan harta yang banyak untuk kehidupan kedua-duanya, sehinggalah kedua pasangan tadi dikurniakan Allah dengan seorang anak yang bernama Abdullah bin Mubarak ra. Anak kedua pasangan tadi akhirnya menjadi seorang ulamak yang besar, ahli hadis, yang masyhur, ahli sufi yang zuhud, seorang mujahid yang ulung dizamannya, seorang yang dimuliakan Allah hasil perkahwinan kedua ibubapa yang diberkati. Fudhail bin Iyyad ra pernah bersumpah ketika menceritakan kehebatan Abdullah bin Mubarak ra: ‘Demi Tuhan kaabah! aku tidak pernah melihat dengan mata kepalaku seseorang yang lebih hebat daripada Abdullah bin Mubarak, padanya terhimpun kehebatan segala ulamak dari kehebatan-kehebatan alim ulamak.’

No comments:

Post a Comment