Menjadi kewajipan terhadap seseorang individu muslim beramal dan berusaha hanya untuk Islam, demi merealisasikan segala tuntutan Islam. Ia mesti memastikan setiap anggotanya berusaha untuk menegakkan Daulah Islamiah. Oleh itu Amal Jama’i (kerja berjemaah) yang dijalankan oleh sebuah jamaah Islamiah mestilah tersusun rapi dan utuh. Adalah suatu perkara yang mustahil untuk merealisasikan tujuan yang besar ini dengan cara perseorangan (Amal Fardi) tanpa usaha Amal Jama’i yang tersusun rapi.
Oleh kerana itu untuk merealisasikan tujuan yang besar ini, Amal Jama’i merupakan satu kewajipan yang diwajibkan oleh Islam keatas semua umatnya dan tujuan ini hanya dapat dilaksanakan dengan adanya jamaah Islamiah.
Kewajipan berada di dalam satu jamaah atau harakah Islamiah ini dapat dilihat di dalam Al Quran:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As Saff:4)
Di dalam hadis Rasulullah saw menyatakan:
“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jamaah muslimin dan pimpinan mereka”
Dan penegasan baginda lagi:
“Sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia, seperti serigala dan kambing, dia menangkap mana-mana yang jauh dan terpencil, maka janganlah kamu memncil diri dan hendaklah kamu berjemaah dan mencampuri orang ramai serta menghadiri masjid.”
Menurut kaedah fiqhiah yang popular juga menyatakan:
“Barang yang tidak sempurna wajibnya melainkan dengannya, maka ianya juga menjadi wajib.”
Negara atau Daulah Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya Jamaah Islamiah dan ianya mustahil dapat ditegakkan secara individu. Oleh itu mewujudkan jamaah Islamiah menjadi satu kewajipan keatas umat Islam dan menyertainya juga adalah satu tuntutan yang mesti ditunaikan.
Jamaah Islamiyyah Yang Diwajibkan Supaya Kita Menyertainya
Jamaah Islamiah yang diwajibkan kita bersama-sama dengannya itu seharusnya mempunyai dua matlamat yang besar iaitu:
i. Matlamat Khusus
ii. Matlamat Umum
A. Matlamat Yang Khusus
1. Melahirkan individu muslim dan mengembalikan keperibadian Islam yang tulin kepadanya.
2. Membina keluarga Islam yang benar-benar memberi saham di dalam pembentukan individu muslim dan masyarakat Islam
3. Mendirikan Negara Islam
4. Menyatukan semula ummat Islam yang berpecahbelah.
B. Matlamat Yang Umum
1. Membawa manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Maha Esa. Sebagaimana Al Quran menerangkan:
‘Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.’ (Az Zariyaat:56)
2. Mempelopori kerja-kerja amal makruf dan nahi mungkar. Allah berfirman:
‘Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik’. (Ali Imran:110)
3. Menyampaikan risalah Islam kepada manusia seluruhnya, sebagaimana Allah swt telah nyatakan:
‘Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat Yang Engkau mengadapnya dahulu itu (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah Yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula Yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan Sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang Yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).’ (Al Baqarah:143)
4. Menghapuskan fitnah dan kekufuran serta berkuasa di bumi ini. Allah swt juga telah menyakan hal yang sedemikian:
‘Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang Yang zalim.’ (Al Baqarah:193)
CIRI-CIRI JEMAAH ISLAM
1. Dasar perjuangan jamaah tersebut ialah Islam
Kita telah diperintahkan oleh Allah swt dan kita juga telah meyakini bahawa Islam itu adalah agama yang lengkap dan menyeluruh, sepertimana yang telah di sebut dalam ayat terakhir yang diturunkan oleh Allah swt:
‘Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi cara hidup untuk kamu.’ (Al Maidah:3)
Diatas dasar keyakinan ini maka wajib bagi kita untuk meletakkan Islam di hadapan dalam semua ruang lingkup kehidupan kita.
2. Perlembagaan hidup yang utama adalah Al Quran dan As Sunnah
Hadis Baginda Nabi saw selalu dibacakan:
‘Aku tinggalkan dua perkara, selama mana kamu berpegang kepada keduanya tidak akan kamu sesat selamanya, Kitab Allah dan sunnah rasulNya’
3. Rujukan dan panduan hidup yang utama adalah Al Quran
4. Terbinanya jemaah itu atas kesedaran umat Islam sendiri kerana tuntutan Al Quran dan As Sunnah
Ia bukan kerana tidak berpuas hati, sebagai protes, dengki, khianat atau hasutan dari pihak lain. Tetapi Islam yang hendak dibawa adalah Islam yang timbul atas kesedaran terhadap kewajipan mereka untuk menyampaikan dakwah dan kewajipan untuk menegakkan daulah Islamiah
5. Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara serentak.
Keadaan ini menggambarkan tasawwur Islam yang sebenar, dimana pelaksanaan dua perkara dilakukan serentak, bahawa Islam itu adalah Ad Deen yang bencikan kepada kekufuran dan sangat memerlukan perkara makruf sebagai landasan utama. Islam tidak boleh tertegak bersama terbinanya jahiliyah di atas muka bumi.
6. Menyeru kearah Islam yang syumul dengan menjadikan Islam sebagai Ad Deen (Cara hidup)
Firman Allah swt:
‘Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukum seluruhnya; dan janganlah kamu menuruti jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.’ (Al Baqarah:208)
Individu yang mengaku dirinya sebagai muslim tidak boleh mengambil dan mengamalkan Islam dalam perkara-perkara tertentu, yang dirasakan penting dan tidak bercanggah dengan kehendak diri sahaja lalu meninggalkan sebahagian lain yang dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Islam dengan agama lain adalah seperti minyak dan air yang tidak akan bercampur walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan. Islam adalah Islam yang ada manhaj hidupnya sendiri dan manhaj itu tidak pernah ditiru dari mana-mana manhaj golongan kuffar yang ada di atas muka bumi ini.
7. Jemaah yang membina akal pemikiran manusia serta yang mengarahkan penghayatan terhadap Islam
Ia mengutamakan keredhaan Allah tanpa mencicirkan dunia dalam kehidupan Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan seimbang antara dunia dan akhirat
Manusia boleh mencari apa sahaja yang mereka mahu di dunia ini tetapi mereka tidak boleh melupakan kehidupan akhirat, seperti pepatah Arab mengatakan:
‘Dunia ini adalah ladang bagi akhirat.’
Islam tidak menganjurkan umatnya hidup semata-mata untuk dunia atau untuk akhirat semata-mata. Islam bukan Ad Deen yang menyuruh manusia menjadikan maddiyah (material) sebagai wawasan berjaya. Itulah sebab Islam tidak menggalakkan umatnya melonggokkkan harta sehingga manusia melalaikan perintah Allah, tetapi harta itu hendaklah disedeqahkan atau dihadiahkan kepada golongan yang lemah. Islam mewajibkan zakat dan menggalakkan sedekah atau hadiah, tujuannya Islam mendidik hati dan peribadi umatnya agar taat kepada perintah Allah. Selepas itu manusia akan dapat apa yang dihajatinya di dunia dan di akhirat.
8. Jemaah yang menjadikan ulamak sebagai pimpinan atau rujukan utama mereka selepas Al Quran dan Al Hadis, ijmak dan qias. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:
‘Ulamak itu adalah pewaris kepada nabi-nabi’
9. Jemaah yang terawal dan tertua (jemaah yang pertama) didalam sesatu daulah dan mengamalkan Islam secara lebih menyeluruh dan sempurna serta meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan
Jemaah yang terawal dalam satu-satu kelompok manusia itulah jemaah Islam yang wajib diikuti, selagi mana syarat penubuhannya memenuhi kriteria yang telah disebutkan sebelum ini. Sekiranya ada sesuatu yang dirasakan tidak betul pada jemaah tersebut, maka betulkanlah dengan cara (muzakarah/munaqasyah) atau berdebat (Mujadalah) dengan cara yang baik di antara ahli jemaah. Bukannya dengan cara memprotes dari luar.
10. Jemaah yang tidak memilih orang tertentu sahaja menjadi ahlinya
Jemaah ini boleh disertai oleh semua manusia dan syarat utama untuk menggabungkan diri dengan jemaah ini adalah Islam dan ahlinya mestilah taat sepenuhnya kepada pemimpin tanpa membantah selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah.
Rasulullah SAW ada bersabda:
‘Tidak ada ketaatan yang boleh diberikan kepada makhluk terhadap perkara maksiat kepada Allah’
Jemaah itu pula mestilah membela hak-hak Islam serta umatnya.tidak ada ‘double standart’ dalam membela hak umat Islam sama ada terhadap golongan miskin atau kaya.
11. Asas perjuangan tersebut adalah kearah penyempurnaan aqidah umat Islam
Aktiviti utama yang ditekankan dalam jamaah tersebut adalah aktiviti yang lebih mementingkan aqidah umat Islam. Mereka membela akidah umat Islam dan cuba mengelakkan umat terkeluar dari Islam. Mereka sanggup mempertahankan aqidah dengan berani dan berterus terang, serta menolak segala bentuk amalan syirik. Mereka tidak mengambil sebarang dasar atau sistem dalam hidup mereka dengan sesuatu yang boleh menyebabkan syirik.
12. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk menubuhkan sebuah negara berasaskan pemerintahan Islam
Ini kerana perjuangan umat Islam yang ada sekarang adalah lebih kepada mengikut waqi’ perjuangan Rasulullah saw di Mekah kemudian disambung di Madinah. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk meletakkan semua umat Islam di bawah satu pemerintahan Islam yang mengamalkan dasar-dasar dan sistem Islam dalam pemerintahan secara khalifah sepenuhnya. Ianya ditadbir oelh seorang pemimpin yang beragama Islam dan faqih serta boleh menjadi qudwah (contoh) untuk semua dalam mencari kebaikan
Mereka dengan berani dan tidak sembunyi memperjelaskan kepada semua manusia bahawa cita-cita mereka adalah untuk mengembalikan khilafah Islamiah dan melaksanakan perundangan mengikut ketetapan Allah. Untuk itu mereka perlukan suatu kuasa untuk melaksanakan hukum-hukum Allah. Jika tidak ada kekuasan bererti kebenaran tidak dapat dinyatakan dengan sebenarnya.
13. Jemaah yang menyerahkan seluruh pergantungan dan ketaatan (wala) hanya kepada Allah, walaupun tidak diterima oleh manusia atau makhluk lain
Jemaah ini akur dengan segala ketetapan qada’ dan qadar Allah. Mereka redha terhadap apa yang patut diterima tanpa mengingkari perintah Allah. Yang penting mereka dapat menjalinkan hubungan dengan Allah sebagai hubungan antara tuan dengan hambanya tanpa ada sebarang sekatan atau hijab
Jemaah Islam juga akan sentiasa bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman (seperti yang berlaku terhadap Ikhwan Muslimun, Hamas dll). Rasulullah saw juga menyatakan diakhir zaman nanti Islam akan sentiasa bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman. Rasulullah saw memerintahkan kita supaya tetap berpegang teguh dengan Islam. Jemaah sebenar akan mendapat tentangan dari semua pihak tetapi tentangan itu adalah ujian dari Allah.
Sebahagian dari kertas kerja yang dibentangkan oleh Ustaz Khairul Anwar Wafa Ketua Pemuda PAS NS dalam Tamrin As Thaqafi Kawasan Kuala Pilah
No comments:
Post a Comment