Tuesday, February 8, 2011

Amal Untuk Dunia dan Akhirat

Seorang lelaki berjumpa dengan Sufian At Thauri, lalu berkata: "Wahai Sufian, nasihatilah aku". Imam Sufian At Thauri berkata: "Beramallah untuk duniamu sekadar kekalnya kamu di atasnya, dan beramallah untuk akhirat kamu sekadar lamanya kamu di dalamnya".

Jangan Meminta Kecuali Dari PEMILIKNYA


Suatu hari Khalifah Hisyam Abdul Malik memasuki kaabah bersama seorang alim iaitu Salim bin Abdullah, lalu berkata: "Wahai Salim kalau kamu berhajat dariku sesuatu, kamu boleh pinta sekarang". Lalu Salim menjawab: "Aku malu meminta sesuatu di dalam rumah Allah melainkan dariNya sendiri".
Selepas keluar dari masjid lalu Khalifah bertanya sekali lagi: "Wahai Salim, kita telah berada diluar rumah Allah, pintalah jika kamu ada sesuatu hajat". "Adakah hajat keduniaan atau keperluan akhirat yang perlu aku minta?" Salim bertanya kembali. "Hanya hajatmu tentang dunia" jawab Khalifah. "Aku tidak pernah meminta sesuatu hajat tentang dunia dari Pemiliknya (Allah), lalu bagaimana mungkin aku meminta dari bukan pemiliknya." Balas Salim bin Abdullah sambil mengingatkan Khalifah Hisyam.

PENGAJARAN:
1. Ulamak perlu ada kehebatan tersendiri, dari menundukkan diri kepada pemerintah dengan meminta kekayaan dunia.
2. Kebanyakan pemerintah/raja-raja merasakan diri mereka adalah pemilik dunia yang ada ditangan mereka, jesteru para Ulamak perlu mengingatkan pemerintah bahawa dunia ini bukan milik mereka, melainkan hanya pengurus, bukan pemilik
3. Ulamak yang suka mengumpul kekayaan dunia dengan bersahabat pemerintah yang zalim adalah ulamak yang jahat.
4. Banyak lagi pengajaran dari kisah diatas bagi yang suka berfikir.

Thursday, August 26, 2010

10 PEMBOHONGAN BESAR MEDIA BERKENAAN ISRAEL

Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk Israel, let’s talk about it, Collon telah menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:

1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua. Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’ dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.

5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya.

Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan. Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut.

Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkaya yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika, Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan.

Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana.

Sumber: http://haluanpalestin.haluan.org.my

Monday, August 16, 2010

Doa Taubat dan Penghulu Taubat

Doa-doa Taubat yang wurud dalam hadis Rasulullah saw antaranya:

1. Daripada Ibnu Umar r.a sabda Rasulullah saw:
رَب اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang

2. Daripada Ibnu Umar r.a: Aku duduk disamping Rasulullah saw, aku mendengar Baginda beristighfar 100 kali, sabda Baginda:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي، وارحمني، وتُبْ عليَّ، إِنَّك أَنت التوابّ الرحيم أو إِنك تواب غفور
Ya Allah ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang, atau sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun

3. Daripada Ibnu Umar r.a , kami duduk dengan Rasulullah saw dalam satu majlis, lalu Baginda beristighfar 100 kali:
رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ».
Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang (HR Abu Daud)

4. Daripada Syaddad bin Aus r.a, daripada Nabi saw: Penghulu Istighfar itu kamu berkata:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، اغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ
Ya Allah Engkau Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau , Engkaulah yang menjadikan aku , dan aku adalah hamba-Mu, aku akan selalu menepati janji-Mu sekemampuan-Ku, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku kembali kepada-Mu dengan nikmat yang telah Engkau berikan. Aku kembali kepada-Mu dengan dosa, maka mapunilah aku, sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni dosa kecuali Engkau.

Baginda menyambung: ‘Barangsiapa membacanya waktu siang hari dan meyakininya, lalu mati siang hari tersebut sebelum petang, maka dia adalah ahli syurga, barangsiapa membacanya waktu malam lalu mati pada malamnya sebelum pagi maka dia adalah ahli syurga.

5. Daripada Aisyah r.a betanya: Ya Rasulullah apa pendapatmu jika aku bertemu malam Al Qadar, apakah doa yang sepatutnya aku baca, katakanlah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Maha Pemurah, Engkau suka kepada kemaafan, maka ampunilah aku.

6. Seorang mendatangi Rasulullah saw dan bertanya : Ya Rasulullah apakah yang patut saya baca ketika berdoa kepada Tuhanku? Sabda Baginda saw: Bacalah
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى وَعَافِنِى وَارْزُقْنِى
Sambil baginda merapatkan jari-jarinya kecuali ibu jari dan berkata: Maka sesungguhnya mereka menghimpunkan bagi kamu dunia kamu dan akhirat kamu. (Riwayat Muslim)

7. Seorang A’rabi datang bertemu Rasulullah saw dan bertanya tentang doa yang sesuai untuk dibaca bagi dirinya, lalu Baginda bersabda: Bacalah:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَارْحَمْنِى وَاهْدِنِى وَارْزُقْنِى

Ya Allah ampunkanlah aku, rahmatilah aku, tunjukilah aku dan berilah rezki kepadaku (Riwayat Muslim)

8. Daripada Abu Musa r.a berkata: Rasulullah saw selalu berdoa:
رَبِّ اغْفِرْ لِى خَطِيئَتِى وَجَهْلِى وَإِسْرَافِى فِى أَمْرِى كُلِّهِ ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّى ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى خَطَايَاىَ وَعَمْدِى وَجَهْلِى وَهَزْلِى ، وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِى ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ ، وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ ، وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Wahai Tuhan ampuni kesalahanku, kejahilanku dan keterlanjuranku semuanya, dan apa yang Engkau lebih tahu tentangnya daripada aku, Ya Allah ampuni aku, juga kesengajaanku, kebodohanku, dan kealpaanku, dan semuanya daripada aku, Ya Allah ampuni dosa apa yang terdahulu dan apa yang terkemudian, apa yang tersembunyi dan apa yang nyata, Engkau Yang Terdahulu dan Engkaulah Yang Tiada Kesudahan, dan Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (Riwayat Al Bukhari)




Monday, November 23, 2009

UMUR UMAT NABI MUHAMAD


Soalan – Hadis yang masyhur ((أعمار أمتي ما بين الستين إلى السبعين) [Umur umatku antara 60 ke 70 tahun/Tirmizi] Adakah hadis sahih? Adakah dinyatakan dalam mana-mana kitab? Siapakah perawinya dari kalangan sahabat?

Imam Nawawi r.a: Hadis ini hadis hasan, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah saw telah bersabda: (أعمار أمتي ما بين الستين إلى السبعين، وأقلهم من يجوز ذلك) [Umur umatku diantara 60 ke 70 tahun, dan tidak ramai yang melebihi daripada itu] Riwayat Imam Tirmizi.

Tuesday, November 3, 2009

Kerajaan Perpaduan Ala Indonesia

Oleh Ustaz Ir A Halim Abdullah
25 Oktober 2009

Indonesia dibawah pimpinan Presiden Susilo yang baru dipilih semula, sekali lagi memilih Kerajaan Perpaduan sebagai kenderaan negara dalam membina tamaddun bagi umat Islam di sana. Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang dianggotai oleh kesemua parti-parti yang berpengaruh dalam sesebuah negara. Pada kebiasaannya, bilangan jawatan menteri diagihkan mengikut prestasi keputusan pilihanraya masing-masing, lalu sama-sama membentuk Kabinet dan Exco untuk memimpin umat yang memilih mereka. Lawan kepada Kerajaan Perpaduan ialah Kerajaan Monopoli atau Kerajaan Satu Parti dimana parti yang memenangi majoriti kerusi atau undi melebihi 50%, walaupun hanya 51% akan membolot kesemua 100% jawatan-jawatan dalam Kabinet diperingkat pusat dan Exco diperingkat negeri, tanpa berkongsi kuasa dan jawatan walaupun parti-parti lain memenangi 49% kerusi atau undian dalam Pilihanraya. Contohnya seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang. Jika Barisan Nasional (BN) menang, ia akan membolot kesemua jawatan dalam Parlimen di Pusat atau DUN di negeri. Begitu juga jika Pakatan Rakyat di peringkat negeri di Kelantan, Kedah dan Selangor. Kerajaan Monopoli berlaku bila parti yang menang tidak mahu berkongsi kuasa dengan parti lain, atau mahu berkongsi tetapi pelawaan mereka ditolak oleh parti lawan yang kalah. Apabila PAS memenangi semula pilihanraya di Kelantan suatu masa dahulu, PAS mengajak UMNO mewujudkan Kerajaan Perpaduan di Kelantan tetapi Presiden UMNO, Mahathir mengarahkan UMNO menolak tawaran tersebut dan menjadi 100% Pembangkang di sana.


Sebaik HAMAS (ditubuhkan tahun 1987) diumumkan memenangi Pilihanraya Umum Kedua Palestin pada 25.1.2006 lalu, Ketua Biro HAMAS, Khalid Masy’al dalam ucapan sulungnya mengajak semua parti dan calun bebas yang memenangi kerusi untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Palestin atau dalam bahasa Arabnya, Hukumah Wahdah Wataniah. Kesemua parti menyahut pelawaan tersebut kecuali FATAH, parti kedua terbesar di Palestin dan gerakan paling bersejarah (ditubuhkan tahun 1964) yang menguasai PLO sehingga ke hari ini. Keputusan pimpinan FATAH sentiasa dibayangi tekanan dan pengaruh Amerika, Eropah dan Israel.

Kelebihan membina tamaddun sesebuah negara menerusi kepimpinan Kerajaan Perpaduan ialah :

(1) Ukhuwwah dikalangan masyarakat lebih terpelihara dan kesatuan umat lebih dekat untuk dicapai. Masyarakat akan menganggap bahawa Pilihanraya adalah hanya satu proses memilih pimpinan yang terbaik berdasarkan prestasi parti masing-masing dalam Pilihanraya. Setelah tamat pilihanraya, parti-parti yang menang mendapat lebih jawatan manakala parti-parti selebihnya mendapat jawatan yang kurang tetapi turut bersama dalam Kabinet dan Exco. Apabila kesemua parti-parti yang terlibat bertaut dan bersatu kembali di dalam Kabinat dan Exco, ahli parti-parti berkenaan dan rakyat akar umbi di bandar dan desa juga akan bertaut, bersatu dan berbaik. Umat di sesebuah negara yang bersatu adalah lebih kuat dari umat yang bertelagah, kata mengata dan bercerai berai.

(2) Dalam Kerajaan Perpaduan, kesemua parti atau pihak dianggap bersama-sama dalam membangunkan negara dan menentukan agenda umat. Dalam Kerajaan Monopoli, pembangkang sering dituduh sebagai pengacau kepada perjalanan negara, samada semasa perbincangan dalam dewan lebih-lebih lagi didepan pengundi dan rakyat di bandar dan kampung. Banyak wang ringgit, tenaga dan fikiran diperuntukkan kearah melemahkan pihak lawan yang dianggap subversif. Adapun dalam Kerajaan Perpaduan, tanpa prejudis yang berlebihan dan tidak bertempat terhadap parti-parti yang kalah dalam Pilihanraya, fokus Kerajaan yang terbentuk berupa tenaga, fikiran dan wang ringgit boleh ditujukan kepada pembangunan keperibadian insan dan fizikal negara berkenaan, tanpa perlu ada rasa untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Erdogan & Abdullah Goul

Perdana Menteri Turki, Ricep Tayyib Erdogan (kanan) dan Presiden Turki Abdullah Ghaul setelah memenangi Pilihanraya Umum Turki telah membentuk Kerajaan Perpaduan, melibatkan parti-parti berpengaruh, mendapat sokongan rakyat dan mempunyai wakil-wakil rakyat dalam Parlimen. Aliran Erdogan di Malaysia memilih nama “Erdogan” yang sama, tetapi sikap dan strategi yang berbeza. “Erdogan Malaysia” menuduh pimpinan PAS yang pro-Kerajaan Perpaduan sebagai pro-UMNO, dan bukan pro-kesatuan umat Islam.

Kita mengucapkan syabas kepada rakyat Indonesia dan pimpinan mereka kerana memilih Kerajaan Perpaduan sebagai bentuk pemerintahan mereka. Prestasi mereka akan terus dinilai oleh semua pihak, kawan dan lawan, terutama oleh kita umat Islam di Malaysia. Masa telah lama tiba, sejak dahulu, untuk membangunkan negara Indonesia yang sememangnya negara paling berpotensi di kalangan Negara-negara Islam. Semua maklum, bahawa Indonesia hari ini terpaksa menanggung segala kelemahan dan keperitan pasca-Penjajahan dan era Kerajaan Monopoli di zaman Suharto/GOLKAR, dimana kekayaan negara dirompak, kebajikan rakyat diabaikan, akhlak masyarakat dirosakkan dengan rasuah, maksiat dan sebagainya, aqidah umat dicalar dengan berbagai falsafah dan kepercayaan bid’ah dan kufur. Namun pengalaman Jepun dan Amerika sendiri menunjukkan bahawa untuk memajukan material sesebuah negara sebenarnya tidak perlu mengambil masa yang panjang. Kedua-dua negara gergasi industri berkenaan hanya muncul setelah Perang Dunia KeDua, berbanding banyak negara-negara di Eropah yang telah mula lama membangun sejak zaman Revolusi Perindustrian tetapi agak keterbelakang pada hari ini. Kita percaya, jika baik perjalanan dan pentadbiran negaranya, Indonesia akan muncul sebagai salah satu kuasa dunia yang penting, insyaAllah.

Kebanyakan pemimpin parti di Malaysia menolak idea Kerajaan Perpaduan. Oleh itu mana parti yang menang dengan mendapat majoriti kerusi di Parlimen atau DUN walau sebanyak 51% kerusi, akan membolot kesemua 100% jawatan eksekutif Kabinet di Pusat dan Exco di Negeri. Pihak lawan yang kalah dalam Pilihanraya, walau mendapat setinggi 49% kerusi yang dipertandingkan akan kehilangan kesemua jawatan dalam Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri. Tiada pertautan semula dalam Kabinet dan Exco selepas Pilihanraya dikalangan wakil-wakil rakyat. Bagaimana pula dikalangan pengikut dan rakyat di akar umbi ? (Foto hiasan : Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Port Dickson).

Saya cuba-cuba memahami hasrat asal Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Pusat yang mahu mencapai Kerajaan Perpaduan. Jika UMNO dan PAS benar-benar berpadu, akar umbi masyarakat Melayu di bandar maupun di kampung, penyokong UMNO maupun PAS akan turut sama berpadu walaupun tahap kesatuan tersebut tidak setahap kesatuan sesama ahli parti itu sendiri. Bentuk ini juga yang diajak kearahnya oleh gerakan HAMAS di Palestin dihari pertama mereka memenangi 63% kerusi Parlimen di Pilihanraya 25.1.2006, walaupun masih gagal mencapainya hari ini kerana halangan dari Amerika dan Israel menerusi gerakan FATAH. Walaupun apa berbezaan dalaman dalam sesebuah organisasi dan negara, namun tidak ada disana pilihan selain memastikan kesatuan umat terus terpelihara terutama dizaman ini dimana hampir setiap negara menghadapi ancaman negara dan pengaruh luar yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menikam jasad umat Islam yang berpecah, lalu merobek aqidah dan akhlak mereka dengan mudah.


Pertemuan dan perbincangan diantara HAMAS dan FATAH. Walaupun mendapat halangan Amerika dan Israel untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Palestin, HAMAS dan FATAH telah banyak kali dapat duduk semeja untuk mencapai beberapa kesepakatan demi kepentingan rakyat dibawah mereka.

Pertemuan seperti ini sangat jarang kita lihat berlaku diantara UMNO dan PAS-PKR yang mewakili masyarakat Islam di Malaysia, sedang pimpinan parti-parti Cina di Malaysia sering bertemu dibawah anjuran Chinese Chambers of Commerce (CCC) dan lain-lain platform, keraian dan kesempatan. Adakah fenomena tidak duduk semeja ini hanya khusus terdapat pada orang-orang Islam – Melayu - Malaysia sahaja ?

Pengamatan saya yang dangkal ini, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Pusat, dalam hasrat asal mereka menuju ke arah Kerajaan Perpaduan, mereka terpaksa berdepan dengan keadaan-keadaan berikut :

(1) Keikhlasan UMNO yang dipersoalkan oleh ramai pemerhati. Adakah seruan kearah Kerajaan Perpaduan oleh Presiden UMNO, DS Najib Razak benar-benar untuk menyatukan orang Melayu Islam di Malaysia yang sedang berpecah yang lebih banyak melayan tuntutan pihak bukan-Islam demi meraih dan merai undi mereka ? Atau ia hanya perangkap atau usaha terdesak untuk cuba menyelamat UMNO yang sokongan rakyat terhadapnya kian terhakis, hampir lemas lalu mencari pelampung. Apabila pelampung datang hampir, pelampung akan ditenggelamkan agar kepala dan hidung dapat mucul semula dipermukaan dan boleh bernafas untuk terus menyambung hidup ? Pengalaman pahit seperti ini di Kelantan suatu masa dahulu masih segar dalam ingatan dan iktibar kepada TG Nik Aziz. “Seorang mukmin tidak dipatuk ular 2 kali dalam 1 lubang” (Hadis).

(2) DS Anwar Ibrahim dilihat ramai sebagai Perdana Menteri alternatif kepada DS Najib Razak atau mana-mana Presiden UMNO dewasa ini. Jika berlaku gabungan UMNO-PAS sahaja dalam menerajui Kerajaan Perpaduan, adakah disana ruang untuk pimpinan PKR boleh menerajui Kerajaan Malaysia dengan menduduki jawatan tertinggi ? Adakah seruan DS Najib kearah Kerajaan Perpaduan ala UMNO-PAS hanyalah sekadar untuk menyahkan DS Anwar dan bukan untuk benar-benar ber”padu” dalam ertikata yang sebenarnya.

DS Anwar Ibrahim pula memilih agar Pakatan Rakyat mesti mengalahkan Barisan Nasional terlebih dahulu sebelum apa-apa agenda baru seperti “Kerajaan Perpaduan” dan sebagainya dicapai. Sudah tentu tawar menawar politik (power bargaining) dengan Barisan Nasional mempunyai perbezaan ketika BN berkuasa berbanding dengan ketika ia tidak mempunyai kuasa. Ini sudah tentu. Cuma dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional di pilihanraya peringkat Parlimen dan DUN, sudah tentu banyak layanan terutama kepada pengundi bukan-Islam terpaksa diberi dan dalam banyak hal, jauh melebihi layanan terhadap permintaan pengundi Islam. Pemberian ~1000 ekar tanah di Perak, berbanding ~100 ekar di sana juga adalah salah satu contoh, tanpa perlu menyebut siapa yang mendapat durian runtuh berkenaan.

(3) Keputusan undi dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS menunjukkan ada 3 arus utama di dalam PAS iaitu yang dipelopori oleh Ustaz Nasharudin Ms Isa, Husam dan Mohd Sabu. Dari jumlah undi, ketiga-tiga arus menampakkan kekuatan yang hampir sama. Aliran Ustaz Nasharuddin atau “Aliran Kepimpinan Ulamak” menyokong hasrat penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kekuatan dan masadepan umat Islam di Malaysia. Perpecahan yang hanya kerana berlainan parti, memonopoli jawatan dalam Kabinet di pusat dan Exco di negeri selama ini lebih banyak menguntungkan pihak bukan-Islam yang licik berpolitik, dan merugikan pihak-pihak yang bertelagah terutama dikalangan umat Islam sendiri. Manakala “Aliran Erdogan” pula lebih memihak kepada strategi PKR pimpinan DS Anwar Ibrahim. Kenyataan Media 10 Wakil Rakyat PAS menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan yang merupakan hasrat asal Presiden PAS sendiri agak menimbulkan tanda tanya kepada saya, walaupun arus ini mendakwa mendapat dokongan tokoh-tokoh PAS yang lain.


Generasi masadepan di Malaysia. Bentuk kerajaan manakah yang lebih baik untuk keagungan mereka di hari muka, Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Satu Parti ? Adakah Kerajaan Satu Parti atau saya istilahkan Kerajaan Monopoli yang diamalkan di Malaysia memberi lebih kebaikan kepada rakyat dan generasi masadepan atau memberi lebih menfaat kepada golongan tertentu ?

Isu politik “Kerajaan Perpaduan” di Malaysia telah berlalu dan banyak pihak telah mengutarakan pandangan atau keluhan hati masing-masing pada masa itu. Namun pembentukan Kerajaan Perpaduan oleh pimpinan rakyat Indonesia yang berlaku semalam tiba-tiba mengajak fikiran saya berfikir sejenak masadepan rakyat Indonesia. Ia juga turut mengajak saya merenung keadaan semasa dan masadepan rakyat Malaysia sendiri yang saya cintai, dimana pimpinan-pimpinan mereka secara rela atau terpaksa, menolak idea “Kerajaan Perpaduan”.

Semoga Allah swt memelihara kita semua, mengembalikan umat kepada kefahaman dan penghayatan Islam yang sahih, menyatu dan menguatkan mereka, serta menjadikan mereka semula sebagai pemimpin dan pembimbing dunia seperti umat-umat Islam yang terdahulu. Ameen.

Disalin dari http://inijalanku.wordpress.com

Sunday, June 28, 2009

BUNGA ROS


Soalan - Adakah sahih bunga ros berasal dari air peluh Nabi Muhamad saw? Atau dari air peluh Buraq (tunggangan Nabi saw pada malam diisra'kan)?

Imam Nawawi: Tiada yang sahih tentang hal tersebut.