Monday, April 4, 2011

SUAMI YANG MUKMIN

Seorang lelaki datang bertemu Saidina Hasan ra, lalu bertanya: “Wahai Hasan aku mempunyai seorang anak perempuan dan dia telah dipinang oleh beberapa lelaki, kepada siapa patut aku kahwinkannya?”

Saidina Hasan ra menjawab: “Kahwinkan dia dengan orang yang bertaqwa kepada Allah swt, jika dia sukakan anakmu itu maka dia akan memuliakannya, tetapi jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan melakukan kezaliman padanya.”

-: Kitab Uyunul Akhbar oleh Ibnu Qutaibah

KELEBIHAN PERKAHWINAN

Perkahwinan amat digalakkan dalam Islam dengan berbagai hikmah dan rahmat kepada mereka yang berkahwin. Nabi Allah Yaakob as berkahwin walaupun dalam keadaan dukacita, dan Baginda telah dikurniakan anak dengan perkahwinan tersebut.

Imam Tawous ra berkata: Perempuan (Isteri) itu setengah dari agama lelaki.

Imam Ahmad bin Hanbal ra pula berkata: Hidup membujang bukanlah dari urusan(sunnah) dalam agama ini.

Katanya lagi: ‘Jikalau manusia meninggalkan urusan perkahwinan, nescaya mereka tidak akan pergi berjihad, mereka tidak akan pergi menunaikan haji, mereka tidak akan melakukan demikian..demikian..

-: Kitab Wara’ oleh Imam Ahmad b Hanbal

Friday, April 1, 2011

KEBERKATAN PASANGAN YANG SOLEH

Dihikayatkan dari Mubarak ayah kepada Abdullah bin Mubarak ra:

Bahawa dia telah bekerja di sebuah ladang Delima untuk tempoh yang cukup lama, maka pada suatu hari tuan ladang tersebut datang melawatnya, beliau merupakan seorang pedagang di Kota Hamadzan, apabila sampai di ladang lalu dia berkata kepada Mubarak: ‘Wahai Mubarak! tolong bawakan untuk aku buah delima yang manis,” Lalu Mubarak pergi ke beberapa batang pokok delima dan memetik buahnya. Kemudian beliau mempersembahkannya kepada tuannya. Tuannya terus memecahkan buah delima tersebut dan memakannya, ternyata buah itu masam, lalu ia berteriak kepada Mubarak: “Aku minta buah delima yang manis tapi kau bawakan yang masam! bawakan satu lagi yang manis!” perintahnya kepada Mubarak. Lalu Mubarak pergi memetik beberapa biji lagi dan memberikan kepada tuannya, apabila tuannya memakan delima tersebut, ternyata buah itu juga masam rasanya, bertambah beranglah tuan ladang tadi kepada Mubarak, lalu diperintahkan kepada Mubarak perkara yang sama berlaku buat kali ketiga, ternyata buah yang dipetik tetap masam, lalu tuannya bertanya kepada Mubarak: “Apakah kamu tidak kenalkah buah mana yang manis dan buah mana yang masam?” “Tidak tuan” jawab Mubarak. “Kenapa?” soal tuannya kembali. “Sebab aku tidak pernah memakannya” jawab Mubarak. “Kenapa engkau tidak pernah memakannya?” Tuannya bertanya kembali. “Kerana engkau tidak pernah mengizinkan aku memakannya.” jawab Mubarak. Maka kehairananlah si tuannya kerana ternyata Mubarak seorang pekerja yang cukup amanah, dan jujur dalam segala tindakannya. Ternyata Mubarak seorang lelaki yang amat istimewa pada pandangan tuannya.

Tuan ladang itu mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan telah kerap dipinang orang, tetapi beliau tidak pernah menerima pinangan tersebut, lalu dia bertanya kepada Mubarak: “Wahai Mubarak! Apakah engkau bersetuju jika aku kahwinkan engkau dengan anak gadisku?” Lalu dijawab oleh Mubarak: “Tuan! Orang jahiliyah mengahwinkan anak mereka kerana kedudukan (kebangsawanan), orang Yahudi pula mengahwinkan anak mereka kerana harta, manakala orang nasrani berkahwin kerana kecantikan dan umat ini diajarkan agar berkahwin kerana agama.” Maka bertambahlah ketakjuban tuan ladang itu kepada Mubarak kerana kehebatan akalnya, lalu anaknya dikahwinkan dengan Mubarak dan diberikan harta yang banyak untuk kehidupan kedua-duanya, sehinggalah kedua pasangan tadi dikurniakan Allah dengan seorang anak yang bernama Abdullah bin Mubarak ra. Anak kedua pasangan tadi akhirnya menjadi seorang ulamak yang besar, ahli hadis, yang masyhur, ahli sufi yang zuhud, seorang mujahid yang ulung dizamannya, seorang yang dimuliakan Allah hasil perkahwinan kedua ibubapa yang diberkati. Fudhail bin Iyyad ra pernah bersumpah ketika menceritakan kehebatan Abdullah bin Mubarak ra: ‘Demi Tuhan kaabah! aku tidak pernah melihat dengan mata kepalaku seseorang yang lebih hebat daripada Abdullah bin Mubarak, padanya terhimpun kehebatan segala ulamak dari kehebatan-kehebatan alim ulamak.’

Thursday, March 31, 2011

HUKUM MEROKOK

Darul Ifta (Majlis Fatwa) Mesir telah mengeluarkan hukum syarak tentang HARAM merokok. Fatwa ini diterbitkan pada 25 Jamadil Awal 1419 bersamaan 5 September 1999 menyebutkan:

Bahawa dari segi kajian ilmiah, telah sabit secara qatei’ sekarang ini dengan bahaya kemudharatan penggunaan tembakau kepada tubuh manusia, kerana banyak terdapat kemudharatan yang menimpa perokok dan orang-orang yang sekelilingnya selain dari pembaziran yang berlaku dan memang telah ditegah oleh Islam.

Allah telah berfirman: (Al Baqarah:195)

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

'Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'

Dengan itu maka merokok adalah haram dengan segala pertimbangan neraca syarak.

Mufti RepublikArab Mesir

Dr.Nasir Farid Wasil

SAKIT YANG MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

Imam Qusyairi ra menceritakan: ‘Ketika aku di Mekah aku berhajat menziarahi Syeikh Abdul Malik At Tobari ra, maka aku ditunjuki akan rumahnya dan aku pergi melawatnya, aku dapati beliau ketika itu sedang demam campak, apabila aku masuk dia mempersilakan duduk dan berkata’ : “Aku apabila demam aku rasa gembira dengannya, kerana nafsuku sibuk dengan sakit tersebut lalu tidak menghiraukan akan diri aku, maka ketika itu hati aku boleh berkhalwat dengan Tuhanku sebagaimana yang aku mahukan.”

MANUSIA TIDAK LAYAK MENGUJI TUHANNYA

Suatu hari iblis datang menemui Isa as, ‘Wahai Anak Maryam! Sesungguhnya kamu tidak akan ditimpa musibah kecuali yang telah tertulis untuk kamu’. “Ya benar kata-kata kamu wahai musuh Allah!” sahut Isa as. ‘Kalau begitu, cuba engkau panjat bukit ini dan terjun dari atasnya, cuba lihat adakah kamu akan mati?’ iblis menghasut Isa as. Lalu Isa as menjawab: “Wahai musuh Allah! Sesungguhnya hanya Allah swt yang layak menguji hambaNya, tetapi hambaNya tidak layak menguji Tuhannya.”

Wednesday, March 23, 2011

ISTINBAT YANG BAIK SEMASA PERLANTIKAN ABU BAKAR AS SIDDIQ RA

Disebut oleh Ibnu Adiy daripada Abu Bakr bin Ayyash ra, katanya: Khalifah Harun Ar Rasyid bertanya padaku: ‘Wahai Abu Bakr! Bagaimana para sahabat memilih Abu Bakr As Siddiq menjadi khalifah?’ Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Dalam hal tersebut, Allah telah diam, begitu juga Rasulullah saw telah diam dan orang-orang beriman dikala itu juga telah diam.”

‘Wahai Abu Bakr! Jawapan kamu lebih menambahkan kebingungan aku’ kata Khalifah Harun Ar Rasyid.

Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Ketika nabi saw telah sakit selama 8 hari, lalu Bilal bin Rabah ra masuk ke bilik Baginda saw dan bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah yang akan memimpin solat manusia?, lalu Baginda bersabda: Perintahkan Abu Bakr supaya mengimami manusia. Maka Abu Bakr telah menjadi imam selama 8 hari, sedangkan wahyu ketika itu masih turun, maka Rasulullah telah berdiam diri akan hal tersebut kerana diamnya Allah swt akan hal tersebut, dan seluruh orang-orang beriman ketika itu juga berdiam diri kerana diamnya Rasulullah saw akan hal tersebut.”

Khalifah Harun Ar Rasyid terlalu takjub dengan jawapan tersebut, lalu berkata: ‘Semoga Allah memberkati engkau wahai Abu Bakr!’.