Sunday, June 7, 2009

HARUS MELEBIHKAN SEBAHAGIAN NABI ATAS SEBAHAGIAN YANG LAIN

Soalan – Segolongan umat berkata: Nabi kita Muhamad saw adalah sebaik-baik Nabi dan yang paling mulia. Segolongan manusia lagi berkata: Ucapan itu tidak diharuskan, ia adalah iktikad yang salah, tidak harus bagi kita melebihkan sebahagian Nabi atas sebahagian yang lain. Pendapat manakah yang betul? Adakah perlu diberi amaran kepada salah satu golongan ini?.

Imam Nawawi: Iktikad golongan yang pertama adalah betul dan tepat, ia adalah iktikad orang –orang Islam. Banyak dalil-dalil yang zahir dan terang pada menyatakan kelebihan Nabi Muhamad saw ke atas sekelian nabi alaihim salam. Adapun pendapat yang kedua itu adalah salah dan silap, dan dia patut diberikan peringatan (takzir). Tidak diharuskan ucapan yang sedemikian kecuali dia jahil dan tidak mengetahui akan firman Allah swt: (Al Baqarah:253)

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

“Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian Yang lain (dengan kelebihan-kelebihan Yang tertentu)…”

Allah swt juga berfirman: (Al Isra’:55)

وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيِّىْنَ عَلَى بَعْضٍ

“..dan Sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya Yang lain;…”

Didalam hadis sahih yang masyhur, bahawa Rasulullah saw bersabda:

انا سيد ولد آدم ولا فخر

“Aku adalah penghulu sekelian anak Adam (manusia) tanpa berbangga.”

Dalam hadis yang sahih Baginda juga bersabda:

لاتفضلوا بين الأنبياء

“Jangan kamu melebihkan sebahagian nabi (atas sebahagian yang lain)”

Maka para ulamak telah menjawabnya dengan lima jawapan yang masyhur:

1. Nabi Muhamad saw melarang perbuatan tersebut sebelum Baginda mengetahui bahawa Beliau adalah yang terbaik dikalangan para nabi-nabi, apabila mengetahuinya lalu Baginda menyatakan: Aku adalah penghulu sekelian anak Adam (manusia)…

2. Baginda melarang perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada pertengkaran dan permusuhan. Telah sabit di dalam hadis sebab wurud hadis ini kerana seorang muslim telah menampar seorang Yahudi yang melebihkan Musa dari sekelian nabi.

3. Baginda melarang perbuatan tersebut kerana ia boleh membawa kepada mencela nabi yang lain, tetapi bukan kelebihan tertentu, dan ia dikuatkan oleh ayat 55 surah al Isra’ di atas.

4. Nabi menyatakan dengan keadaan tawadhuk (merendah diri).

5. Dilarang tafdhil (melebihkan) itu pada maqam kenabian, bukan pada individu yang menjadi nabi atau pada risalah umum kenabian mereka, atau menambah pada bab yang khusus[1] (khususiyat) mereka. Wallahua’lam.



[1] Telah ijmak umat Islam bahawa sebahagian nabi lebih utama dari sebahagian yang lain, dan adalah Nabi Muhamad saw yang paling utama dari kalangan nabi-nabi. Dalil mereka:

Pertama: Firman Allah swt: (وما ارسلناك إلا رحمة للعالمين )[Tidak Kami utuskan engkau kecuali menjadi rahmat untuk sekelian alam/Al Anbiya:107] maka adalah rahmat kepada seluruh alam itu menjadi kelaziman bahawa menjadi yang terbaik dari sekalian alam.

Kedua: Firman Allah swt: ( ورفعنا لك ذكرك) [dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu/Insyirah:4]. Juga dikatakan sedemikian kerana Allah menggandingkan namaNya dengan nama Nabi Muhamad saw dalam kalimah syahadah, dalam azan, dalam bacaan tahiyat, dan tidak berlaku sebutan sedemikian bagi nabi-nabi yang lain.

Ketiga: Allah swt menggandingkan ketaatan kepadaNya dengan ketaatan kepada Baginda saw( من يطع الرسول فقد أطاع الله) [Barang siapa mentaati ar Rasul (Muhamad) maka dia telah mentaati Allah swt/An Nisa:80], begitu juga janji taatsetia (baiah) kepadaNya dengan janji taatsetia kepada Rasul(إن الذين يبايعونك إنما يبايعون الله )[Sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu sesungguhnya mereka itu telah berbaiah dengan Allah/Al Fath:10], kemulianNya dengan kemulian baginda (ولله العزة ولرسوله )[Dan bagi Allah dan RasulNya segala kemuliaan itu/Al Munafiqun:8], keredhaanNya dengan keredhaan rasulNya ( والله ورسوله أحق ن يرضوه)[padahal Allah dan RasulNya jualah Yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya.../At Taubah:62], menyambut seruanNya dengan menyambut seruan baginda (يا ايها الذين آمنوا استجيبوا لله وللرسول) [Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya/Anfal:24]

Keempat: Allah swt menyuruh Nabi Muhamad saw mencabar manusia mencipta satu surah seperti Al Quran, firmanNya (فأتوا بسورة من مثله)[ maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu./Al Baqarah:23], diturunkan surah paling pendek iaitu surah Al Kauthar yang mengandungi 3 ayat. Kemudian Allah mencabar manusia mendatangkan satu ayat yang setanding dengan ayat Al Quran, sedangkan telah didatangkan lebih 6000 ayat. Jesteru itu Al Quran bukanlah satu mukjizat, bahkan mengandungi lebih dari beribu-ribu mukjizat.

Apabila telah sabit tentang hal itu, maka Allah swt telah menyebutkan tentang kemulian Nabi Musa dengan 9 ayat yang terang, maka kemuliaan itu lebih kepada Nabi Muhamad saw kerana disebutkan kemuliaannya lebih daripada itu.

Kelima: Mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhamad saw lebih dari sekelian nabi a.s. oleh itu pasti Nabi Muhamad saw lebih kemuliaannya dari nabi-nabi a.s yang lain.

Keenam: Nabi Muhamad saw adalah penutup segala nabi, wajiblah dia yang lebih baik, tidak diterima akal jika penutup segala nabi tidak setara atau lebih mulia dari nabi-nabi sebelumnya.

Ketujuh: Agama yang dibawa oleh Nabi Muhamad saw adalah sebaik-baik agama, maka wajiblah dengan itu Nabi Muhamad saw menjadi sebaik-baik nabi.

DOA MEMOHON KEBAIKAN DAN KEBURUKAN

Soalan – Dua berpendapat, pertama; jika seorang hamba berdoa meminta dari Allah perkara maksiat, nescaya Allah akan berikan dan jika meminta perkara yang baik (ketaatan) Allah akan berikan juga. Pendapat kedua pula; jika meminta perkara taat akan dimakbulkan tetapi jika meminta benda yang maksiat akan ditolak, yang manakah pendapat yang betul?

Imam Nawawi: Kedua-dua pendapat itu silap, tetapi yang tepat bahawa jika dia berdoa meminta kemaksiatan, maka doa itu tidak diharapkan makbulnya, jika doa itu meminta kebaikan (ketaatan) maka orang berdoa itu mesti berharapkan agar dimakbulkan. Telah sabit hadis dalam riwayat Imam Muslim dari Abi Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:

لا يزال يُستجاب للعبد ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم ما لم يستعجل؛ قيل: يا رسول الله، ما الاإستعجال؟ قال: يقول: قد دعوت فلم يستجب لي، فيتحسر عند ذلك ويدع الدعاء

“Doa itu akan sentiasa dimakbulkan bagi hamba-hambaNya selagi tidak berdoakan perkara dosa, atau yang memutuskan silaturrahim selagi ia tidak tergesa-gesa”, ditanya oleh sahabat: “Ya Rasulullah! Apakah maksud dengan tergesa-gesa itu?” Sabda Baginda: “Dia (orang yang berdoa itu) berkata: Aku telah berdoa tetapi belum diterima lagi, maka ia rasa rugi dengan berdoa itu lalu meninggalkannya.”

MAKANAN AHLI SYURGA

Soalan - Adakah Ahli Syurga makan bersyahwat?

Imam Nawawi: Mereka makan dengan bersyahwat dan mereka menikmati kelazatan makanan tersebut, tetapi bukan dengan syahwat kerana kelaparan. Firman Allah: (Toha:118)

إِنَّ لَكَ أَلاَّ تَجُوعَ فِيهَا وَلاَ تَعْرَى

"Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, Bahawa Engkau tidak akan lapar Dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang.”

Jikalau mereka makan tanpa syahwat nescaya tiadalah disana kelazatan menikmati makanan tersebut.

MELIHAT NABI SAW KETIKA TIDUR

Soalan – Melihat Nabi saw ketika tidur (mimpi) adakah khusus untuk orang yang soleh atau boleh berlaku kepada orang lain?

Imam Nawawi: Ia boleh berlaku kepada orang soleh juga kepada orang lain.

Saturday, June 6, 2009

NAMA ALLAH AL A’ZAM

Soalan - Apakah Nama Allah Al A’zam? Di dalam surah apa ia disebutkan?

Imam An Nawawi: Banyak hadis yang menyebutkan tentangnya, dalam Sunan Ibnu Majah dan lain-lainnya dari Abi Umamah r.a, dari Nabi saw, Baginda bersabda: “Ia terdapat dalam 3 surah, surah Al Baqarah, surah Ali Imran dan surah Toha.”

Berkatalah sebahagian ulamak salaf: Nama Allah Al A’zam itu adalah (الحي القيوم ) kerana ia terdapat dalam ayat kursi (al Baqarah:255), di awal surah Ali Imran (ali Imran:2) dan dalam surah (Toha: 118) firman Allah: (وَعَنَتِ الوُجُوهُ لِلْحَيِّ القَّيُومِ) dan ini adalah istinbat yang baik. Wallahhu a’lam.


SEDUTAN RINGKAS WASHIQATUL AMAL AL USRAH AD DANDARAWIAH


GAMBARAN PERJALANAN (وصف الطريق)
Iaitu jalan yang telah dimulakan oleh Allah swt semenjak kebangkitan risalah Rasulullah saw dan akan berakhir ketika penerimaan syafaat nanti.

BENTUK PERJALANAN (نوعية المسيرة)
Perjalanan yang selamat serta menyelamatkan mengikut jejak langkah Rasulullah saw bagi peningkatan manusia daripada sifat kehaiwanan ke tahap kemanusiaan yang tinggi kepada ketinggian Islam dan kemuliaan muslimin.
Firman Allah swt: (Al Munafiqun:8)
Maksudnya: ‘mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya! jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang Yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang Yang hina lagi lemah (pihak Islam)". padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang Yang beriman; akan tetapi golongan Yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).’

ASAS-ASAS PERJALANAN INI

Pertama: Membebaskan diri daripada belenggu ketakutan kecuali kepada Allah swt serta merungkaikan ikatan ketamakan diri selain daripada Yang Maha Kuasa dengan laungan penuh keyakinan didada kita (الله أكبر ونحن المحمديون ولله الحمد) Allah Maha Besar kamilah umat bersama Muhamad segala pujian Kepada Allah. Tidak ada ketakutan serta pengharapan selain kepadaNya.

Kedua: Mengambil lambing ‘Tapak Kasut’ Rasulullah saw untuk menyatakan kepada diri dan orang lain yang dia tidak rela melencong dari perjalanannya kerana jalannya adalah bersama-sama Rasulullah saw. (طريق المعية المحمدية)
Firman Allah swt: (Al Fath:29)
‘Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya…’

Ketiga : Membina system pemikiran yang empat yang telah digariskan oleh Rasulullah saw;
i. Salafiyah (مدرسة الشريعة النبوية)
Dengan mengambil mana-mana mazhab Fiqh Islami serta mempelajari hukum-hukum ibadat serta asas-asas muamalat bagi menunaikan setiap hukum-hakam dan segala bentuk pergaulan yang bertepatan dengan mazhab Islam yang ia berkuasa mengerjakannya mengikut tabiat warna kulit dan tampat-tempat yang dibolehkan.
Firman Allah swt: (Al Anbia’:7)
‘dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki Yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka Bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.’

Berkata ulamak:
فواجب تقليد جبر منهم : كذا حكي القوم بلفظ يفهم
‘Maka wajiblah mengikut mereka yang lebih alim dikalangan mereka (Imam Mazhab) sebagaimana yang telah diterangkan oleh ulamak dengan cara yang difahami.’

Jangan sekali-kali kita menolak mazhab dalam Islam kerana pada ulamak mazhab tersebut terdapat dalil-dalil yang telah dibukukan yang dipakai oleh kita semua pada hari ini, janganlah kita menganggap mazhab sebagai punca perpecahan tetapi sebaliknya dengan adanya telah menjadi kemudahan kepada umat Islam.

ii. Suffiyah (مدرسة الآداب المحمدية)
Mengambil mana-mana ‘Santapan Ruh’ (مشرب روحى) daripada ulamak yang muktabar sebagai penolong untuk merasai sesuatu dan membantu bagi kekuatan di dalam mencapai kehendaknya bagi membasmi sifat Ananiah (Egoistik) serta membersihkan ruh ke tahap sebersih-bersih pandangan dengan menghiasinya dengan sifat-sifat:
• Benar (الصدق) pada perkatan dan keazaman
• Amanah (الأمانة) pada pergaulan dan semasa berseorangan
• Malu (الحياء) pada pergaulan bersama keluarga dan manusia seluruhnya
• Berani (الشجاعة) pada kebenaran serta sabar ketika menghadapi saat-saat genting.
Berkata Ibnu Arabi:
من يبنى إيمانه بالبراهين والستدلال فقط لا يمكن الوثوق بإيمانه فهو يتأثر بالاعتراضات فاليقين لا يستنبط بأدلة العقل إنما يغترف من أعماق القلب
Maksud: ‘Sesiapa membina keimanannya dengan keterangan dan dalil-dalil sahaja tidak mungkin dia dapat berpegang dengan keimanannya sementara itu ia akan menghadapi halangan-halangan dimana keyakinan tidak dapat disimpulkan dengan berdalil akal akan tetapi keimanan itu dapat diselami daripada lubuk hati.’

iii. Taawuniah (مدرسة منهج التعاون المحمدي الكريم)
Sistem bergabung ketika takut dan bersepakat semasa susah bersama keluarga dan jiran tetangga serta masyarakat bagi melahirkan ummah yang teguh (تضامن عند الفراغ وتكافل عند العسرة)

iv. Politik (مدرسة منهاج السياسية النبوية الرحيم)
Sistem politik Rasulullah saw yang penyanyang kasih-mengasihani serta hormat-menghormati dimana sahaja berada dengan sesiapa sahaja yang melanggari batas-batas kenegaraan dengan menghubung jalinkan umat yang satu sebagai satu anggota badan yang mengadu sakit lalu sebagai satu anggota apabila mengadu sakit lalu dituruti oleh anggota lain.
Sabda Rasulullah saw: (Muttafaqun alaih)
مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كالجسد الواحد إذا اشتكى منه عضوا تداعي له سائر الأعضاء بالسهر والحمّى
Maksud: ’Perumpamaan orang-orang yang beriman itu pada berkasih-sayang, hormat-menghormati serta kasih-mengasihi bagai satu anggota apabila mengadu salah satu anggota lalu dituruti oleh anggota yang lain dengan kesakitan berjaga malam.’

Keempat: Wajib memahami tabiat semulajadi ikatan manusia yang dibina di atas syariat dan adab perjalanan Rasulullah saw (صوفي) dengan empat ikatan kejiwaan (روابط الوجدانية) dan empat ikatan kewujudan (روابط الوجودية)

i. IKATAN KEJIWAAN (روابط الوجدانية)
Yang berkaitan dengan manusia semasa hidup dan selepas mati yang lahir daripada perasaan yang sensitif dikawali oleh perimbangan untuk mencapai sesuatu ketinggian hemahnya dengan empat ikatan;
• Ikatan keperibadian terhadap Allah swt dengan ikatan keagamaan, sabda Rasulullah saw:

• Ikatan keperibadian terhadap Rasulullah saw dengan dua ikatan:-

[1] Ikatan keimanan dengan risalahnya yang berbentuk universal. Sabda Rasulullah saw:
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من نفسه وعترتي أحب إليه من عترته
Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku adalah lebih ia kasihi daripada dirinya dan zuriatku lebih ia kasihi daripada zuriatku.

[2] Ikatan ketundukan kepada kepimpinan Rasulullah saw yang menyatukan ummah. Firman Allah swt: (Al Ahzab:6)
Maksudnya: Nabi itu lebih utama pada orang-orang Yang beriman daripada diri mereka sendiri;

• Ikatan keperibadian dengan Sultan Dandarawi yang pertama Sidi Muhamad As Sultan sebagai ikatan cucu dengan datuknya sebagai intisab maknawi (انتساب المعنوي) bagi mendapat gelaran ‘Dandarawi’ sehingga dengan panggilan ini semua bagaikan satu kumpulan yang bercabang di dalam keluarga yang satu di pelusuk Negara.

• Ikatan keperibadian terhadap Imam Dandarawi yang kedua Sidi Abbas Al Imam sebagai ikatan bapa ruh supaya setiap individu timur dan barat, utara dan selatan menjadi milik bagi ummah dan ummah menjadi milik bagi inidividu sebagai penolong dan pembenteng.

ii. IKATAN KEWUJUDAN (روابط الوجودية)
Lahir daripada perasaan yang suci dikawali oleh perimbangan akal yang sihat agar tidak tersesat kebenaran serta dapat menguasai tindak balas hatinya yang hidup supaya tidak terpadam nalurinya dengan empat ikatan;
• Ikatan Individu Pengikut Usrah Dandarawiah (ابناء الاسرة الدندراوية) terhadap rumpun kaumnya dengan ikatan perkauman tanpa ta’sub seperti dengan saudara maranya sekalipun berlainan arus pemikiran supaya tidak ada pulau memulau, benci membenci yang diharamkan oleh Islam. Sabda Rasulullah saw; (Riwayat Muslim)
لا تحاسدوا ولا تناجشوا ولا تباغضوا ولا تدابروا
Maksudnya: Maka janganlah kamu berhasad dengki, jangan tipu menipu, jangan benci membenci dan janganlah kamu belakang membelakangi…
• Ikatan Individu Dengan Sahah Usrah (ساحات الاسرة) dengan lapisan masyarakat sebagai hubungan setempat tanpa melihat kepada perbezaan kemanusiaan samada kaya dengan miskin, alim dengan jahil, pemerintah dengan rakyat, yang kuat dengan yang lemah yang mana semuanya adalah pembantu kepada pembinaan ummah.
• Ikatan Individu Setiap Pengikut Usrah Dandarawiah Dengan Tanah Air dengan hubungan tanpa taasub kenegerian dimana merekalah sebagai orang beramanah dengan amanahnya penjaga kepada harta bendanya serta pengawal kepada tanah airnya.
• Ikatan Individu Terhadap Pemerintah Negaranya dengan ikatan wala’ (الولاء ) selama masa pemerintahan tetap atas undang-undang am serta terikat dengan undang-undang tanpa dibantah dengan melulu supaya tidak mudah terhunus senjata pemerintah terhadap rakyat. Begitu juga wala’ tidak boleh dipaksa kerana ia adalah kemuncak bagi politik didalam melaksanakan tuntutan sesebuah Negara yang mempunyai rakyat.

Kelima: Mengambil berat dengan empat pembentukan diri sebagai persamaan yang merupakan peringkat keagungan manusia iaitu;
Badan - Solat , puasa, makan dan tidur dapat mencapai ke tahap kecergasan pada setiap pergerakan
Ruh - Sentiasa mengingati Allah taala dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhamad saw sehingga dapat mencapai ke darjat kemanisan iman dengan kehalusan perasaan dengan cahaya keimanan. Firman Allah swt: (
Nafsu - Menahan diri daripada tuntutan nafsu dengan mengeluarkan zakat serta membanyakkan sedeqah. Firman Allah swt: (At Taubah:103)
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka,

Keenam: Menjadikan diri bersifat Insanul Ummah sehingga jadilah seperti satu ummah tanpa merasai pelik serta berlainan dengan orang lain yang berbeza tempatnya.

Bentuk Ummah (Manusia)
• Kanak-kanak - Bersifat suci serta terlepas daripada taklif
• Pemuda - Bersifat pintar dan cergas
• Dewasa - Bersifat matang dengan kemahiran
• Orang tua - Bersifat sopan santun

Bentuk lapisan masyarakat
• Golongan kaya - Golongan miskin (Faqir)
• Golongan alim - Golongan jahil (Ummi)
• Golongan Kuat - Golongan lemah
• Golongan Pemerintah - Golongan rakyat

Bentuk penduduk dan permukaan bumi
• Ahli bukit -sifat kasarnya
• Ahli gurun -sifat kerasnya
• Ahli dataran -sifat sederhananya
• Ahli pantai -sifat berubah-ubahnya

Bentuk warna kulit manusia
• Berkulit putih - Sifat sukakan kemuliaan
• Berkulit hitam - Sifat kesabarannya
• Berkulit merah - Sifat ketamakannya
• Berkulit kuning - Sifat ketekunannya

Ketujuh: Menjadikan kasih sayang yang ikhlas dan sejati dengan menjadikan diri setiap individu berada pada diri saudarnya serta sentiasa hidup bersama-samanya dimana sahaja dia berada mengikut jejak langkah Rasulullah saw dengan memecahkan perkauman dan perbezaan lapisan masyarakat supaya semuanya dapat membentuk ‘Jam’u Insan Muhamad’ (جمع إنسان محمد صلى الله عليه وسلم).