Tuesday, April 26, 2011

KEHEBATAN ILMU IMAM ATA’

Imam Waqi’ ra menceritakan: Pernah Imam Abu Hanifah Nukman bin Thabit ra bercerita kepadaku :

Aku pernah melakukan 5 kesilapan ketika menunaikan haji di Mekah, maka seorang Pembekam telah mengajar aku akan kesilapan tersebut, iaitu ketika ku ingin mencukur rambutku, dia berkata kepadaku:

‘Kamu ni orang Arabkah?’

“Ya” jawabku, “Berapa upah mencukur kepalaku?”

‘Dalam haji tidak disyaratkan upah tersebut, duduklah!’ katanya kepadaku.

Aku pun duduk mengiringkan kiblat, lalu dia memberi isyarat agar mengadap kiblat. Ketika aku ingin memulakan bercukur dari sebelah kiri, dia berkata: ‘Pusing! Aku ingin cukur bahagian kanan dulu.’

Dia mula mencukur kepalaku dan aku mendiamkan diri, lalu dia berkata: ‘Bertakbirlah!’

Aku pun bertakbir sehingga selesai lalu aku berdiri untuk pergi, dia berkata sekali lagi: ‘Kamu nak kemana?’

“Aku nak menaiki kenderaanku untuk pulang ke rumah” jawabku.

Solat dua rakaat dahulu, baru pergi!’

Aku lalu berkata pada diriku bahawa tidak mungkin seorang Pembekam mampu berkata-kata seperti tadi melainkan dia mempunyai ilmu yang tinggi. Lalu aku bertanya: “Dari mana kamu mengetahui tentang hukum-hakam yang kamu suruh aku lakukan tadi?”

Pembekam itu berkata: ‘Aku melihat Ata’ Abi Rabah melakukan sedemikian’.

-: Wafiat a-A'yan wa Anba' Abna' Az Zaman oleh Ibnu Khalikan

Tuesday, April 12, 2011

KEAJAIBAN IBADAT RASULULLAH SAW

Suatu hari A’to ra bertanya kepada Aisyah ra: “Wahai Ummu Mukminin! Boleh ceritakan kepadaku apa yang paling ajaib hal keadaan Rasulullah saw yang pernah kamu lihat.”

Aisyah ra berkata: “Tiada suatupun dari hal keadaan Baginda yang tidak menakjubkan, pernah suatu ketika Baginda saw tidur dirumahku, maka kami pun memasuki selimut, tiba-tiba Baginda berkata: ‘Malam ini, biarkanlah aku untuk beribadat kepada Tuhanku.’ Lalu Baginda bangun dan berwuduk, kemudian Baginda menunaikan solat. Maka Baginda menangis dalam solatnya sehingga mengalir air matanya ke dadanya, kemudian Baginda rukuk dan menangis, kemudian Baginda sujud dan menangis kemudian Baginda bangun dan menangis, dan berterusan keadaan Baginda solat dalam keadaan menangis sehingga Bilal melaungkan azan Subuh, lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah! Apa yang menyebabkan engkau menangis sedangkan Allah telah mengampunkan dosa-dosa engkau yang terdahulu (sedang Baginda saw tidak pernah melakukan dosa) dan dosa-dosa engkau yang terkemudian?”. Baginda lalu bersabda: “Apakah tidak boleh aku menjadi seorang hamba Allah yang bersyukur (dengan sebab keampunan tersebut)? Dan bagaimana aku tidak beribadat kepadaNya, padahal Allah telah menurunkan kepadaku malam tadi suatu ayat: (Ali Imran:190…)

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal …

-: Diriwayatkan oleh Ibnu Humaid, Ibnu Abi Dunya, Ibnu Hibban, Ibnu Mardawiyah, Ibnu Asakir dan Ashfahaniy.

KEJUJURAN DALAM MEMINANG

Bilal bin Rabah ra pergi meminang seorang perempuan dari suku Bani Heslin dari kalangan bangsa Quraisy untuk dijadikan isteri adiknya Khalid. Lalu beliau berkata kepada keluarga perempuan: “Siapa diri kami telah kamu ketahui, dahulu kami dari golongan hamba sahaya kemudian kami telah Allah swt bebaskan, dahulu kami dalam kesesatan lalu Allah berikan hidayah Islam, dahulu kami adalah dari kalangan orang miskin yang tidak berharta lalu Allah kayakan kami, dan hari ini aku datang meminang anak tuan untuk adikku Khalid, jika kamu terima aku ucap Alhamdulillah! jika kamu tolak kami hanya ucapkan Allah Akbar!"

Maka berkumpullah ahli keluarga si perempuan berbincang dan berkata salah seorang daripada mereka: “Dia itu Bilal bin Rabah, tiada orang sepertinya yang ditolak pinangan.” Lalu adiknya Khalid dikahwinkan.

Dalam perjalanan pulang, Khalid bertanya Bilal bin Rabah: “Semoga Allah ampuni engkau, perlukah kamu menyebut hal keadaan kita yang dah lepas dan pergaulan kita dengan Rasulullah saw ?”

“Ya! Bahkan aku telah berkata benar, maka aku kahwinkan engkau akan kebenaran itu sendiri.”

-: Kitab Nasihatul Muluk oleh Imam Al Ghazali

Monday, April 4, 2011

ISTERI YANG MENEPATI JANJI

Pernah Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan ra meminang Ummu Darda’, maka berkatalah Ummu Darda’ kepadanya: Abu Darda’ pernah meriwayatkan bahawa Baginda saw telah bersabda:

المرأة لآخر زوجيها

Maksdunya: Seorang perempuan itu akan bersama suaminya yang terakhir (di akhirat kelak)

Maka aku tidak akan berkahwin lagi selepas Abu Darfa’ sehingga aku berkahwin dengannya semula di dalam syurga Insyaallah.

Dikatakan bahawa diharamkan isteri-isteri nabi berkahwin selepas wafat Rasulullah saw kerana mereka semua akan menjadi isteri Baginda di dalam syurga.

-: Kitab Uyunul Akhbar oleh Ibnu Qutaibah

SUAMI YANG MUKMIN

Seorang lelaki datang bertemu Saidina Hasan ra, lalu bertanya: “Wahai Hasan aku mempunyai seorang anak perempuan dan dia telah dipinang oleh beberapa lelaki, kepada siapa patut aku kahwinkannya?”

Saidina Hasan ra menjawab: “Kahwinkan dia dengan orang yang bertaqwa kepada Allah swt, jika dia sukakan anakmu itu maka dia akan memuliakannya, tetapi jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan melakukan kezaliman padanya.”

-: Kitab Uyunul Akhbar oleh Ibnu Qutaibah

KELEBIHAN PERKAHWINAN

Perkahwinan amat digalakkan dalam Islam dengan berbagai hikmah dan rahmat kepada mereka yang berkahwin. Nabi Allah Yaakob as berkahwin walaupun dalam keadaan dukacita, dan Baginda telah dikurniakan anak dengan perkahwinan tersebut.

Imam Tawous ra berkata: Perempuan (Isteri) itu setengah dari agama lelaki.

Imam Ahmad bin Hanbal ra pula berkata: Hidup membujang bukanlah dari urusan(sunnah) dalam agama ini.

Katanya lagi: ‘Jikalau manusia meninggalkan urusan perkahwinan, nescaya mereka tidak akan pergi berjihad, mereka tidak akan pergi menunaikan haji, mereka tidak akan melakukan demikian..demikian..

-: Kitab Wara’ oleh Imam Ahmad b Hanbal

Friday, April 1, 2011

KEBERKATAN PASANGAN YANG SOLEH

Dihikayatkan dari Mubarak ayah kepada Abdullah bin Mubarak ra:

Bahawa dia telah bekerja di sebuah ladang Delima untuk tempoh yang cukup lama, maka pada suatu hari tuan ladang tersebut datang melawatnya, beliau merupakan seorang pedagang di Kota Hamadzan, apabila sampai di ladang lalu dia berkata kepada Mubarak: ‘Wahai Mubarak! tolong bawakan untuk aku buah delima yang manis,” Lalu Mubarak pergi ke beberapa batang pokok delima dan memetik buahnya. Kemudian beliau mempersembahkannya kepada tuannya. Tuannya terus memecahkan buah delima tersebut dan memakannya, ternyata buah itu masam, lalu ia berteriak kepada Mubarak: “Aku minta buah delima yang manis tapi kau bawakan yang masam! bawakan satu lagi yang manis!” perintahnya kepada Mubarak. Lalu Mubarak pergi memetik beberapa biji lagi dan memberikan kepada tuannya, apabila tuannya memakan delima tersebut, ternyata buah itu juga masam rasanya, bertambah beranglah tuan ladang tadi kepada Mubarak, lalu diperintahkan kepada Mubarak perkara yang sama berlaku buat kali ketiga, ternyata buah yang dipetik tetap masam, lalu tuannya bertanya kepada Mubarak: “Apakah kamu tidak kenalkah buah mana yang manis dan buah mana yang masam?” “Tidak tuan” jawab Mubarak. “Kenapa?” soal tuannya kembali. “Sebab aku tidak pernah memakannya” jawab Mubarak. “Kenapa engkau tidak pernah memakannya?” Tuannya bertanya kembali. “Kerana engkau tidak pernah mengizinkan aku memakannya.” jawab Mubarak. Maka kehairananlah si tuannya kerana ternyata Mubarak seorang pekerja yang cukup amanah, dan jujur dalam segala tindakannya. Ternyata Mubarak seorang lelaki yang amat istimewa pada pandangan tuannya.

Tuan ladang itu mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan telah kerap dipinang orang, tetapi beliau tidak pernah menerima pinangan tersebut, lalu dia bertanya kepada Mubarak: “Wahai Mubarak! Apakah engkau bersetuju jika aku kahwinkan engkau dengan anak gadisku?” Lalu dijawab oleh Mubarak: “Tuan! Orang jahiliyah mengahwinkan anak mereka kerana kedudukan (kebangsawanan), orang Yahudi pula mengahwinkan anak mereka kerana harta, manakala orang nasrani berkahwin kerana kecantikan dan umat ini diajarkan agar berkahwin kerana agama.” Maka bertambahlah ketakjuban tuan ladang itu kepada Mubarak kerana kehebatan akalnya, lalu anaknya dikahwinkan dengan Mubarak dan diberikan harta yang banyak untuk kehidupan kedua-duanya, sehinggalah kedua pasangan tadi dikurniakan Allah dengan seorang anak yang bernama Abdullah bin Mubarak ra. Anak kedua pasangan tadi akhirnya menjadi seorang ulamak yang besar, ahli hadis, yang masyhur, ahli sufi yang zuhud, seorang mujahid yang ulung dizamannya, seorang yang dimuliakan Allah hasil perkahwinan kedua ibubapa yang diberkati. Fudhail bin Iyyad ra pernah bersumpah ketika menceritakan kehebatan Abdullah bin Mubarak ra: ‘Demi Tuhan kaabah! aku tidak pernah melihat dengan mata kepalaku seseorang yang lebih hebat daripada Abdullah bin Mubarak, padanya terhimpun kehebatan segala ulamak dari kehebatan-kehebatan alim ulamak.’