Wednesday, May 25, 2011

SOAL TENTANG NIKMAT

Dari Mutarrif bin Abdullah dari ayahnya berkata: Aku datang kepada Rasulullah saw dan baginda sedang membaca: (At Takathur:1-2)
ألهىكم آلتكاثر {1} حتى زرتم آلمقابر {2}

‘kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat Dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur.’

Baginda lalu bersabda: Anak Adam akan berkata: Hartaku! Hartaku! Sedangkan tiadalah bagi kamu harta melainkan apa yang kamu makan lalu hancur, apa yang kamu pakai lalu menjadi lusuh, kecuali apa yang engkau sedeqahkan maka ia kekal untuk kamu.

-:Kitab Wara’ oleh Imam Ahmad.

AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Wajib bagi setiap yang telah mukallaf (Aqil / Baligh/ Sampai Dakwah) itu percaya dan beriman akan perkara-perkara berikut supaya selamat aqidahnya dari kesesatan dam memadai dengannya kepercayaan dalam agamanya.

1. Allah Taala itu

a. WAHID ( واحد لا شريك له) tiada bagiNya sekutu/ kongsi

b. Fard ( فرد لا نظير له) [tunggal] tiada bagiNya bandingan/sepadan

c. Azali ( أزالي لا بداية له )tiada bagiNya permulaan

d. Sarmadiy (سرمدي لا نهاية له )tiada bagiNya kesudahan

e. Munazzah an musyabahatil makhluqot ( منزه عن مشابهة المخلوقات) mahasuci dari menyerupai segala makhluk

f. Muqaddas (مقدس عن مماثلة المحدثات ) maha suci dari menyamai segala yang baharu

g. Laisa kamislihi syaiun (ليس كمثله شيء وهو السميع البصير ) tiada yang seumpamaNya yang Maha mendengar lagi Maha Melihat

h. Tiada Ia berjisim yang boleh digambar (ليس جسم مصور)

i. Maha Suci Allah dari berpindah-pindah ( الانتقالات) bergerak (الحركات ) mengambil tempat (الحلول ) mengambil tempat tertentu (الاقطار ) atau penjuru tertentu (الجهات)

j. Tiadak ia diliputi Ia akan tempat (لا يحويه مكان)

k. Tidak menentukan ia dengan masa (لا يحصيه زمان)

l. Dia lebih dahulu daripada diciptakan masa dan tempat (كان قبل أن خلق الزمان والمكان)

m. KeadaanNya sekarang adalah sama sediakala seperti keadaanNya dahulu (الآن على ما هو عليه كان)

2. Wajib pula bagi kita mengenal apa yang wajib pada hak Allah, yang mustahil padaNya dan yang harus padaNya. Semuanya digabungkan dan terkandung dalam kalimah tauhid (لاإله إلا الله محمد رسول الله). Adapun yang wajib pada hakNya:

a. Wujud (وجود) -Ada

b. Qidam (قدم)- Sediakala

c. Baqa (بقاء) -Kekal

d. Mukhalafah lil hawadis (مخالفته للحوادث) –Bertentangan dengan segala yang baharu

e. Qiamuhu binafsih (قيامه بنفسه) –Berdiri dengan sendirinya

f. Wahdaniah (وحدانية) - Esa

g. Qudrah (قدرة) –Berkuasa

h. Iradah (ارادة) -Berkehendak

i. Ilmu (علم) -Mengetahui

j. Hayyun (حي) - Hidup

k. Sama’ (سمع) -Mendengar

l. Basar (بصر) - Melihat

m. Kalam (كلام) –Berkata-kata

n. Kaunuhu Qadiran (كونه قادرا) – KeadaanNya Yang Berkuasa

o. Kaunuhu Muridan (كونه مريدا) – KeadaanNya Yang Berkehendak

p. Kaunuhu Aliman (كونه عليما) – KeadaanNya Yang Mengetahui

q. Kaunuhu Hayyan (كونه حيا) – KeadaanNya Yang Hidup

r. Kaunuhu Samian (كونه سميعا) – KeadaanNya Yang Mendengar

s. Kaunuhu Basiran (كونه بصيرا) – KeadaanNya Yang Melihat

t. Kaunuhu Mutakalliman (كونه متكلما) – KeadaanNya Yang Berkata-kata

3. Maha Suci Allah adalah MUSTAHIL bagi Allah swt bersifat yang bertentangan dengan sifat-sifat wajib di atas.

4. Sifat yang HARUS bagi Allah pula:

a. Allah harus menjadi dan menciptakan alam ini serta makhlukNya yang lain, atau meniadakannya.

5. Sifat Wajib bagi rasul:

a. Siddiq (صديق), Benar segala kata-katanya, perbuatannya dan pengakuannya

b. Amanah (أمانة), jujur segala tingkahlakunya dan akhlaknya

c. Tabligh (تبليغ), Telah menyampaikan segala yang diperintah Allah untuk disampaikan kepada umat manusia, tiada yang tertinggal atau yang tersembunyi.

d. Fatanoh (فطانة) Bijaksana dalam menyampaikan dakwahnya serta muamalahnya dengan manusia

6. Sifat mustahil bagi Rasul

a. Kazib (كاذب) Menipu

b. Khianat (خيانة) Mengkhianati amanahnya

c. Kitman (كتمان) Menyembunyikan wahyu atau sebahagian dari wahyu Allah

d. Safih (سفيه) bodoh dan tidak cerdik.

7. Sifat harus bagi rasul

a. Bersifat seperti sifat manusia lain seperti makan minum berkahwin dan bermasyarakat

8. Wajib beriman dengan Nabi Muhammad saw sebagai

a. Baginda seorang lelaki yang telah dilahirkan di Kota Mekah dan Baginda wafat di Kota Madinah

b. Adalah seorang Nabi dan Rasul, diberikan kepadanya wahyu serta mukjizat yang menjadi bukti kenabiannya. Mukjizatnya yang paling agung adalah Al Quran dan Israk Mikraj.

c. Penghulu dan Penutup segala nabi dan rasul bahawa tiada lagi nabi atau rasul selepasnya

d. Syariatnya (undang-undang Islam) adalah yang paling sempurna dan menutup serta menghapuskan segala syariat yang lain

e. Membenarkan segala khabar yang telah disampaikan oleh Baginda berkaitan dengan alam kubur, alam akhirat, alam Jin, alam Malaikat, serta lain-lain perkara ghaib.

9. Wajib kita beriman dengan azab kubur, bahawa selepas mati akan datang dua malaikat bertanyakan beberapa perkara seperti ‘Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu? dan Siapa Imam kamu’. Mereka yang hidup dengan beriman dan beramal, fitnah tersebut menjadi mudah, tetapi yang kufur dan ingkar fitnah tersebut menjadi satu siksaan sebelum siksaan di akhirat.

10. Wajib beriman adengan mizan neraca timbangan pada hari akhirat, beriman dengan sirat yang wajib dilalui oleh semua manusia yang soleh atau yang kafir, ianya lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari mata pedang, adapun yang kafir mereka akan jatuh dan tidak selamat ketika melaluinya, dan orang yang beriman akan selamat namun dengan berbagai keadaan ketika melaluinya, ada yang secepat kilat dan ada yang lambat seperti menaiki kuda dan ada yang merangkak mengikut nilai amalan dan keyakinan mereka semasa hidup didunia dahulu.

11. Wajib beriman dengan hisab amalan manusia di padang mahsyar, dan sebahagian manusia ada yang akan masuk syurga tanpa melalui hisab, yang disebut sebagai muqarabun, bilangan mereka seramai 70, 000 orang dari kalangan umat Nabi Muhamad dan mereka akan membawa bersamanya 70,000 orang yang lain dengan syafaat mereka.

12. Wajib kita beriman bahawa orang mukmin tidak akan kekal didalam neraka, walaupun masih ada seberat zarah imannya maka dia akan dikeluarkan dari siksaan api neraka setelah sempurna hukuman dan bersih dari segala dosanya.

13. Wajib kita beriman dengan syafaat yang akan berlaku di Hari Akhirat dan akan diberikan oleh nabi-nabi serta syuhada’ (orang-orang yang mati syahid)

14. Wajib kita beriman bahawa semua sahabat nabi radiallahu anhum itu adalah adil, dan Allah telah memuliakan sahabat-sahabat nabi yang utama iaitu Abu Bakr seterusnya Umar, Othman dan Ali serta baki enam sahabat yang dijamin syurga iaitu Abu Thalhah, Zubair bin Awwam, Said bin Zaid, Saad Abi Waqqas, Abdur Rahman bin Auf dan Abu Ubaidah Al Jarrah

Petikan dari Kitab Hidayatus Salikin oleh Imam Al Ghazali

Tuesday, April 26, 2011

KEHEBATAN ILMU IMAM ATA’

Imam Waqi’ ra menceritakan: Pernah Imam Abu Hanifah Nukman bin Thabit ra bercerita kepadaku :

Aku pernah melakukan 5 kesilapan ketika menunaikan haji di Mekah, maka seorang Pembekam telah mengajar aku akan kesilapan tersebut, iaitu ketika ku ingin mencukur rambutku, dia berkata kepadaku:

‘Kamu ni orang Arabkah?’

“Ya” jawabku, “Berapa upah mencukur kepalaku?”

‘Dalam haji tidak disyaratkan upah tersebut, duduklah!’ katanya kepadaku.

Aku pun duduk mengiringkan kiblat, lalu dia memberi isyarat agar mengadap kiblat. Ketika aku ingin memulakan bercukur dari sebelah kiri, dia berkata: ‘Pusing! Aku ingin cukur bahagian kanan dulu.’

Dia mula mencukur kepalaku dan aku mendiamkan diri, lalu dia berkata: ‘Bertakbirlah!’

Aku pun bertakbir sehingga selesai lalu aku berdiri untuk pergi, dia berkata sekali lagi: ‘Kamu nak kemana?’

“Aku nak menaiki kenderaanku untuk pulang ke rumah” jawabku.

Solat dua rakaat dahulu, baru pergi!’

Aku lalu berkata pada diriku bahawa tidak mungkin seorang Pembekam mampu berkata-kata seperti tadi melainkan dia mempunyai ilmu yang tinggi. Lalu aku bertanya: “Dari mana kamu mengetahui tentang hukum-hakam yang kamu suruh aku lakukan tadi?”

Pembekam itu berkata: ‘Aku melihat Ata’ Abi Rabah melakukan sedemikian’.

-: Wafiat a-A'yan wa Anba' Abna' Az Zaman oleh Ibnu Khalikan

Tuesday, April 12, 2011

KEAJAIBAN IBADAT RASULULLAH SAW

Suatu hari A’to ra bertanya kepada Aisyah ra: “Wahai Ummu Mukminin! Boleh ceritakan kepadaku apa yang paling ajaib hal keadaan Rasulullah saw yang pernah kamu lihat.”

Aisyah ra berkata: “Tiada suatupun dari hal keadaan Baginda yang tidak menakjubkan, pernah suatu ketika Baginda saw tidur dirumahku, maka kami pun memasuki selimut, tiba-tiba Baginda berkata: ‘Malam ini, biarkanlah aku untuk beribadat kepada Tuhanku.’ Lalu Baginda bangun dan berwuduk, kemudian Baginda menunaikan solat. Maka Baginda menangis dalam solatnya sehingga mengalir air matanya ke dadanya, kemudian Baginda rukuk dan menangis, kemudian Baginda sujud dan menangis kemudian Baginda bangun dan menangis, dan berterusan keadaan Baginda solat dalam keadaan menangis sehingga Bilal melaungkan azan Subuh, lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah! Apa yang menyebabkan engkau menangis sedangkan Allah telah mengampunkan dosa-dosa engkau yang terdahulu (sedang Baginda saw tidak pernah melakukan dosa) dan dosa-dosa engkau yang terkemudian?”. Baginda lalu bersabda: “Apakah tidak boleh aku menjadi seorang hamba Allah yang bersyukur (dengan sebab keampunan tersebut)? Dan bagaimana aku tidak beribadat kepadaNya, padahal Allah telah menurunkan kepadaku malam tadi suatu ayat: (Ali Imran:190…)

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal …

-: Diriwayatkan oleh Ibnu Humaid, Ibnu Abi Dunya, Ibnu Hibban, Ibnu Mardawiyah, Ibnu Asakir dan Ashfahaniy.

KEJUJURAN DALAM MEMINANG

Bilal bin Rabah ra pergi meminang seorang perempuan dari suku Bani Heslin dari kalangan bangsa Quraisy untuk dijadikan isteri adiknya Khalid. Lalu beliau berkata kepada keluarga perempuan: “Siapa diri kami telah kamu ketahui, dahulu kami dari golongan hamba sahaya kemudian kami telah Allah swt bebaskan, dahulu kami dalam kesesatan lalu Allah berikan hidayah Islam, dahulu kami adalah dari kalangan orang miskin yang tidak berharta lalu Allah kayakan kami, dan hari ini aku datang meminang anak tuan untuk adikku Khalid, jika kamu terima aku ucap Alhamdulillah! jika kamu tolak kami hanya ucapkan Allah Akbar!"

Maka berkumpullah ahli keluarga si perempuan berbincang dan berkata salah seorang daripada mereka: “Dia itu Bilal bin Rabah, tiada orang sepertinya yang ditolak pinangan.” Lalu adiknya Khalid dikahwinkan.

Dalam perjalanan pulang, Khalid bertanya Bilal bin Rabah: “Semoga Allah ampuni engkau, perlukah kamu menyebut hal keadaan kita yang dah lepas dan pergaulan kita dengan Rasulullah saw ?”

“Ya! Bahkan aku telah berkata benar, maka aku kahwinkan engkau akan kebenaran itu sendiri.”

-: Kitab Nasihatul Muluk oleh Imam Al Ghazali

Monday, April 4, 2011

ISTERI YANG MENEPATI JANJI

Pernah Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan ra meminang Ummu Darda’, maka berkatalah Ummu Darda’ kepadanya: Abu Darda’ pernah meriwayatkan bahawa Baginda saw telah bersabda:

المرأة لآخر زوجيها

Maksdunya: Seorang perempuan itu akan bersama suaminya yang terakhir (di akhirat kelak)

Maka aku tidak akan berkahwin lagi selepas Abu Darfa’ sehingga aku berkahwin dengannya semula di dalam syurga Insyaallah.

Dikatakan bahawa diharamkan isteri-isteri nabi berkahwin selepas wafat Rasulullah saw kerana mereka semua akan menjadi isteri Baginda di dalam syurga.

-: Kitab Uyunul Akhbar oleh Ibnu Qutaibah

SUAMI YANG MUKMIN

Seorang lelaki datang bertemu Saidina Hasan ra, lalu bertanya: “Wahai Hasan aku mempunyai seorang anak perempuan dan dia telah dipinang oleh beberapa lelaki, kepada siapa patut aku kahwinkannya?”

Saidina Hasan ra menjawab: “Kahwinkan dia dengan orang yang bertaqwa kepada Allah swt, jika dia sukakan anakmu itu maka dia akan memuliakannya, tetapi jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan melakukan kezaliman padanya.”

-: Kitab Uyunul Akhbar oleh Ibnu Qutaibah

KELEBIHAN PERKAHWINAN

Perkahwinan amat digalakkan dalam Islam dengan berbagai hikmah dan rahmat kepada mereka yang berkahwin. Nabi Allah Yaakob as berkahwin walaupun dalam keadaan dukacita, dan Baginda telah dikurniakan anak dengan perkahwinan tersebut.

Imam Tawous ra berkata: Perempuan (Isteri) itu setengah dari agama lelaki.

Imam Ahmad bin Hanbal ra pula berkata: Hidup membujang bukanlah dari urusan(sunnah) dalam agama ini.

Katanya lagi: ‘Jikalau manusia meninggalkan urusan perkahwinan, nescaya mereka tidak akan pergi berjihad, mereka tidak akan pergi menunaikan haji, mereka tidak akan melakukan demikian..demikian..

-: Kitab Wara’ oleh Imam Ahmad b Hanbal

Friday, April 1, 2011

KEBERKATAN PASANGAN YANG SOLEH

Dihikayatkan dari Mubarak ayah kepada Abdullah bin Mubarak ra:

Bahawa dia telah bekerja di sebuah ladang Delima untuk tempoh yang cukup lama, maka pada suatu hari tuan ladang tersebut datang melawatnya, beliau merupakan seorang pedagang di Kota Hamadzan, apabila sampai di ladang lalu dia berkata kepada Mubarak: ‘Wahai Mubarak! tolong bawakan untuk aku buah delima yang manis,” Lalu Mubarak pergi ke beberapa batang pokok delima dan memetik buahnya. Kemudian beliau mempersembahkannya kepada tuannya. Tuannya terus memecahkan buah delima tersebut dan memakannya, ternyata buah itu masam, lalu ia berteriak kepada Mubarak: “Aku minta buah delima yang manis tapi kau bawakan yang masam! bawakan satu lagi yang manis!” perintahnya kepada Mubarak. Lalu Mubarak pergi memetik beberapa biji lagi dan memberikan kepada tuannya, apabila tuannya memakan delima tersebut, ternyata buah itu juga masam rasanya, bertambah beranglah tuan ladang tadi kepada Mubarak, lalu diperintahkan kepada Mubarak perkara yang sama berlaku buat kali ketiga, ternyata buah yang dipetik tetap masam, lalu tuannya bertanya kepada Mubarak: “Apakah kamu tidak kenalkah buah mana yang manis dan buah mana yang masam?” “Tidak tuan” jawab Mubarak. “Kenapa?” soal tuannya kembali. “Sebab aku tidak pernah memakannya” jawab Mubarak. “Kenapa engkau tidak pernah memakannya?” Tuannya bertanya kembali. “Kerana engkau tidak pernah mengizinkan aku memakannya.” jawab Mubarak. Maka kehairananlah si tuannya kerana ternyata Mubarak seorang pekerja yang cukup amanah, dan jujur dalam segala tindakannya. Ternyata Mubarak seorang lelaki yang amat istimewa pada pandangan tuannya.

Tuan ladang itu mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cantik dan telah kerap dipinang orang, tetapi beliau tidak pernah menerima pinangan tersebut, lalu dia bertanya kepada Mubarak: “Wahai Mubarak! Apakah engkau bersetuju jika aku kahwinkan engkau dengan anak gadisku?” Lalu dijawab oleh Mubarak: “Tuan! Orang jahiliyah mengahwinkan anak mereka kerana kedudukan (kebangsawanan), orang Yahudi pula mengahwinkan anak mereka kerana harta, manakala orang nasrani berkahwin kerana kecantikan dan umat ini diajarkan agar berkahwin kerana agama.” Maka bertambahlah ketakjuban tuan ladang itu kepada Mubarak kerana kehebatan akalnya, lalu anaknya dikahwinkan dengan Mubarak dan diberikan harta yang banyak untuk kehidupan kedua-duanya, sehinggalah kedua pasangan tadi dikurniakan Allah dengan seorang anak yang bernama Abdullah bin Mubarak ra. Anak kedua pasangan tadi akhirnya menjadi seorang ulamak yang besar, ahli hadis, yang masyhur, ahli sufi yang zuhud, seorang mujahid yang ulung dizamannya, seorang yang dimuliakan Allah hasil perkahwinan kedua ibubapa yang diberkati. Fudhail bin Iyyad ra pernah bersumpah ketika menceritakan kehebatan Abdullah bin Mubarak ra: ‘Demi Tuhan kaabah! aku tidak pernah melihat dengan mata kepalaku seseorang yang lebih hebat daripada Abdullah bin Mubarak, padanya terhimpun kehebatan segala ulamak dari kehebatan-kehebatan alim ulamak.’

Thursday, March 31, 2011

HUKUM MEROKOK

Darul Ifta (Majlis Fatwa) Mesir telah mengeluarkan hukum syarak tentang HARAM merokok. Fatwa ini diterbitkan pada 25 Jamadil Awal 1419 bersamaan 5 September 1999 menyebutkan:

Bahawa dari segi kajian ilmiah, telah sabit secara qatei’ sekarang ini dengan bahaya kemudharatan penggunaan tembakau kepada tubuh manusia, kerana banyak terdapat kemudharatan yang menimpa perokok dan orang-orang yang sekelilingnya selain dari pembaziran yang berlaku dan memang telah ditegah oleh Islam.

Allah telah berfirman: (Al Baqarah:195)

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

'Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'

Dengan itu maka merokok adalah haram dengan segala pertimbangan neraca syarak.

Mufti RepublikArab Mesir

Dr.Nasir Farid Wasil

SAKIT YANG MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

Imam Qusyairi ra menceritakan: ‘Ketika aku di Mekah aku berhajat menziarahi Syeikh Abdul Malik At Tobari ra, maka aku ditunjuki akan rumahnya dan aku pergi melawatnya, aku dapati beliau ketika itu sedang demam campak, apabila aku masuk dia mempersilakan duduk dan berkata’ : “Aku apabila demam aku rasa gembira dengannya, kerana nafsuku sibuk dengan sakit tersebut lalu tidak menghiraukan akan diri aku, maka ketika itu hati aku boleh berkhalwat dengan Tuhanku sebagaimana yang aku mahukan.”

MANUSIA TIDAK LAYAK MENGUJI TUHANNYA

Suatu hari iblis datang menemui Isa as, ‘Wahai Anak Maryam! Sesungguhnya kamu tidak akan ditimpa musibah kecuali yang telah tertulis untuk kamu’. “Ya benar kata-kata kamu wahai musuh Allah!” sahut Isa as. ‘Kalau begitu, cuba engkau panjat bukit ini dan terjun dari atasnya, cuba lihat adakah kamu akan mati?’ iblis menghasut Isa as. Lalu Isa as menjawab: “Wahai musuh Allah! Sesungguhnya hanya Allah swt yang layak menguji hambaNya, tetapi hambaNya tidak layak menguji Tuhannya.”

Wednesday, March 23, 2011

ISTINBAT YANG BAIK SEMASA PERLANTIKAN ABU BAKAR AS SIDDIQ RA

Disebut oleh Ibnu Adiy daripada Abu Bakr bin Ayyash ra, katanya: Khalifah Harun Ar Rasyid bertanya padaku: ‘Wahai Abu Bakr! Bagaimana para sahabat memilih Abu Bakr As Siddiq menjadi khalifah?’ Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Dalam hal tersebut, Allah telah diam, begitu juga Rasulullah saw telah diam dan orang-orang beriman dikala itu juga telah diam.”

‘Wahai Abu Bakr! Jawapan kamu lebih menambahkan kebingungan aku’ kata Khalifah Harun Ar Rasyid.

Aku berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Ketika nabi saw telah sakit selama 8 hari, lalu Bilal bin Rabah ra masuk ke bilik Baginda saw dan bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah yang akan memimpin solat manusia?, lalu Baginda bersabda: Perintahkan Abu Bakr supaya mengimami manusia. Maka Abu Bakr telah menjadi imam selama 8 hari, sedangkan wahyu ketika itu masih turun, maka Rasulullah telah berdiam diri akan hal tersebut kerana diamnya Allah swt akan hal tersebut, dan seluruh orang-orang beriman ketika itu juga berdiam diri kerana diamnya Rasulullah saw akan hal tersebut.”

Khalifah Harun Ar Rasyid terlalu takjub dengan jawapan tersebut, lalu berkata: ‘Semoga Allah memberkati engkau wahai Abu Bakr!’.

MEMILIH PASANGAN YANG BAIK

Abu Wadaah bercerita: Aku sentiasa medatangi majlis ilmu Said bin Musaiyab ra, apabila aku tidak hadir majlis beberapa hari, suatu hari aku pun hadir, lalu dia bertanya: “Kemana kamu?” Aku berkata: “Isteriku yang meninggal dunia, maka sibuk sedikit,” lalu dia berkata: “Kenapa tidak beritahu kepada kami, maka boleh kami jenguk sekali,” lalu aku rasa seperti ingin bangun sahaja dari majlis tersebut. Kemudian dia bertanya: “Adakah kamu dah mencari ganti isteri kamu itu?” Aku menjawab: “Mudah-mudahan Allah rahmati engkau! Siapalah yang sudi untuk berkahwin denganku sedangkan aku hanya ada dua tiga dirham sahaja.” “Bagaimana kalau aku carikan adakah kamu mahu?” “Sudah tentu tuan” jawabku. Lalu dia mengucapkan tahmid dan selawat serta menikahkan aku dengan mahar dua tiga dirham tadi. Kemudian aku bangun dan tidak aku ketahui apa patut aku lakukan kerana kegembiraan, aku berlari menuju ke rumahku, dirumah aku berfikir dari mana aku boleh dapatkan duit atau meminjamnya utnuk perkahwinan itu. Aku bersiap untuk solat maghrib dan masak masakan untuk berbuka kerana aku sedang berpuasa, aku masak roti dan minyak, apabila aku ingin menyuapkan makananku, pintu rumahku tiba-tiba diketuk orang, aku tanya: “Siapa?” Lalu dijawab: “Aku Said,” lalu aku berfikir tentang semua kenalanku yang bernama Said tapi tidak terlintas difikiranku tentang Said bin Musaiyab ra, kerana biasanya beliau tidak akan kelihatan dalam 40 tahun aku mengenalinya melainkan dilaluan antara masjid dan rumahnya. Aku berdiri dan keluar membuka pintu, rupanya Said bin Musaiyab ra, apabila memang nyata beliaulah orangnya, aku berkata: “Wahai Abu Muhamad, kalau kau panggil aku bila-bila pun aku sedia datang.” “Tidak! bahkan engkaulah yang berhak aku kunjungi.” Jawabnya. “Kau nak suruh aku buat sesuatukah?” aku bertanya kembali. Said bin Musaiyab ra berkata: “Aku tengok engkau seorang lelaki yang bujang dan aku tidak suka melihat engkau tidur keseorangan pada waktu malam, ini aku bawakan isterimu kepada kamu.”

Ternyata dia seorang wanita yang tinggi dan cantik, lalu aku membawanya masuk dan menutup pintu, beliau pun tunduk dengan penuh malu-malu, aku tersandar pada daun pintu, lalu aku naik loteng rumahku dan memanggil jiran-jiranku, apabila mereka datang lalu bertanya akan hal aku? “Said bin Musaiyab ra telah mengahwinkan aku dengan anaknya”. jawabku, “Dia telah datang dengan keadaan aku tidak siap apa-apa, sekarang anaknya ada dalam rumahku,” lalu mereka menemuinya dan menyampaikan berita itu kepada ibuku, lalu ibuku datang dan berkata: “Aku tidak benarkan kamu bertemu dan menyentuh dia sebelum aku ajarkannya sesuatu dalam tiga hari.” Aku menunggu selama tiga hari barulah aku menemuinya, rupanya dia adalah secantik-cantik perempuan yang pernah aku temui, beliau wanita yang paling menjaga hafazan Al Qurannya, paling mengerti tentang hadis-hadis nabi, dan paling mengetahui akan hak-hak dan tanggungjawab seorang isteri.

Aku tinggal dirumahku selama sebulan, aku tidak hadir ke majlis Said bin Musaiyab ra dan dia juga tidak pernah menziarahi ku, setelah sebulan aku datang semula ke majlisnya, lalu aku memberi salam dan dia menjawabnya, dia tidak berkata apa-apa kepadaku hingga selesai majlisnya, apabila kami tinggal berdua sahaja, Said bin Musaiyab ra pun berkata kepadaku: “Apa khabarnya orang tu?” “Dia dalam keadaan disukai oleh kawan dan dibenci oleh musuh.” jawabku. “Kalau dia degil didik dia gunakan rotan” kata Said bin Musaiyab ra. Kemudian aku berangkat balik ke rumahku. Rupanya anak Said bin Musaiyab ra itu telah dipinang oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan untuk anaknya Putera Mahkota Walid, tetapi Said bin Musaiyab ra enggan mengahwinkannya.

Thursday, March 17, 2011

SIAPA AHLI FIQH?

Saidina Ali bin Abi Talib ra berkata: Ahli Fiqh yang benar-benar faham akan fiqh itu ialah :

· Ahli Fiqh yang tidak membiarkan manusia terputus dari rahmat Allah,

· Dia tidak meringankan manusia pada melakukan maksiat terhadap Allah,

· Dia tidak memberikan keselesaan kepada manusia dari azab Allah,

· Dia tidak membiarkan Al Quran diabaikan terbiar dalam segala perkara,

…..kerana tiada kebaikan dalam ibadat yang tidak disertai oleh ilmu, tiada manfaat pada ilmu yang tidak difahami, dan tiada manfaat pada membaca Al Quran jika tidak ditadabburkan (baca/kaji) isi kandungannya.