Monday, June 8, 2009

ISRA' DAN SOLAT


Soalan – Adakah sabit bahawa Nabi saw telah solat dengan para nabi a.s pada malam Isra’ di Baitul Maqdis? Adakah ketika itu solat telah diwajibkan? Adakah ia solat sepertimana yang kita kenali hari ini atau sekadar doa (pengertian solat pada bahasanya adalah doa)? Adakah peristiwa Isra’ berlaku dalam tidur (mimpi) atau secara sedar? Adakah Isra’ berlaku sekali atau dua kali Adakah Nabi saw melihat Allah swt pada malam Isra’ dengan matanya? Bilakah berlakunya Isra’?

Imam Nawawi: Ya, telah sabit bahawa Nabi kita Muhamad saw telah solat dengan para nabi a.s pada malam Isra’ di Baitul Maqdis, boleh jadi ia berlaku sebelum Rasulullah saw mikraj ke langit dan boleh jadi ia berlaku selepas Baginda turun dari langit pada malam itu.

Ulamak berselisih pendapat pada hakikat solat itu; Dikatakan ia adalah solat yang berbentuk doa sahaja (iaitu solat dari pengertian bahasa). Dikatakan juga ia adalah solat yang sepertimana kita kenali hari ini, dan ia adalah pendapat yang paling sahih, kerana setiap kalimah (solat) kita mesti dahulukan pengertiannya mengikut istilah syarie dahulu sebelum dibawa kepada pengertian bahasa, kita akan takwil pengertiannya kepada pengertian bahasa apabila kita susah untuk menyesuaikan pengertian istilah syarie, maka disini mentakwilkan solat kepada solat yang kita kenali hari ini tiada helah kepayahannya, maka wajiblah kita bawa pengertiannya kepada makna yang sedia kita kenali.

Adapun solat telah diwajibkan sebelum malam Isra’ lagi, ia diwajib pada sebahagian malam seperti yang dinaskan dalam surah Al Muzammil. Ia mula diwajibkan pada awal surah (يَا أيُهَا المُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ إلاَّ قَلِيلاً نِصْفَهُ أوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيْلاً أوْ زِدْ عَلَيْهِ ). [Wahai orang Yang berselimut! bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya.../Al Muzammil:1-4] kemudian ia dimansuhkan selepas setahun dengan firman Allah di akhir surah (فَاقْرَؤُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ)[maka bacalah apa yang mudah dari Al Quran/Al Muzammil:20] kemudian dimansuhkan qiamullail pada malam Isra’ dan diwajibkan solat lima waktu .[1]

Isra’ berlaku pada tahun ke5 atau ke6 kenabian, juga dikatakan berlaku pada tahun ke12 kenabian, ada juga pendapat mengatakan ia berlaku selepas setahun tiga bulan Baginda dilantik menjadi nabi, dan berbagai-bagai lagi pendapat, tetapi ia berlaku pada malam 27 Rabi’ul Awal.
Adapun peristiwa Isra’ berlaku dua kali, pertama kali berlaku dalam tidur dan kali kedua ketika sedar.

Nabi saw telah melihat zat Allah swt pada malam Isra’ dengan matanya sendiri, ia adalah yang paling sahih mengikut riwayat Abdullah Ibnu Abbas r.a dan kebanyakan pendapat para sahabat r.a.

Tetapi Aisyah r.a serta sebahagian sahabat tidak sependapat tentang hal tersebut, tiada hujah yang kuat untuk menyokong pendapat mereka. Aisyah r.a berhujah dengan firman Allah: (لا تُدْرِكُهُ الأبصَارُ) [Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata../Al Anaam:103]

Jumhur ulamak pula menjawab ‘Idrak’ dalam ayat bermaksud ‘Al Ihatah’ (meliputi) dan Allah swt tidak dapat diliputi oleh sesuatu, tetapi orang mukmin dapat melihatNya di negeri akhirat tanpa meliputiNya, sedemikianlah Nabi saw melihatNya pada malam Isra’.

_________________________________________

[1]Hikmah difardukan pada malam tersebut, baginda setelah disucikan zahir dan batin ketika dimandikan dengan air zamzam seterusnya dipenuhkan hatinya dengan iman dan hikmah. Solat juga hendaklah didahulukan dengan bersuci. Dengan itu maka layaklah baginda menerima kewajipan tersebut. Tiada kewajipan solat sebelum peristiwa Isra’ akan tetapi hanya kewajipan melakukan qiamullail tanpa had tertentu. Sebahagian pendapat seperti Imam Syafie dan sebahagian ahli ilmu berkata ia adalah wajib.



No comments:

Post a Comment