Sunday, June 7, 2009

HARUS MELEBIHKAN SEBAHAGIAN NABI ATAS SEBAHAGIAN YANG LAIN

Soalan – Segolongan umat berkata: Nabi kita Muhamad saw adalah sebaik-baik Nabi dan yang paling mulia. Segolongan manusia lagi berkata: Ucapan itu tidak diharuskan, ia adalah iktikad yang salah, tidak harus bagi kita melebihkan sebahagian Nabi atas sebahagian yang lain. Pendapat manakah yang betul? Adakah perlu diberi amaran kepada salah satu golongan ini?.

Imam Nawawi: Iktikad golongan yang pertama adalah betul dan tepat, ia adalah iktikad orang –orang Islam. Banyak dalil-dalil yang zahir dan terang pada menyatakan kelebihan Nabi Muhamad saw ke atas sekelian nabi alaihim salam. Adapun pendapat yang kedua itu adalah salah dan silap, dan dia patut diberikan peringatan (takzir). Tidak diharuskan ucapan yang sedemikian kecuali dia jahil dan tidak mengetahui akan firman Allah swt: (Al Baqarah:253)

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

“Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian Yang lain (dengan kelebihan-kelebihan Yang tertentu)…”

Allah swt juga berfirman: (Al Isra’:55)

وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيِّىْنَ عَلَى بَعْضٍ

“..dan Sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya Yang lain;…”

Didalam hadis sahih yang masyhur, bahawa Rasulullah saw bersabda:

انا سيد ولد آدم ولا فخر

“Aku adalah penghulu sekelian anak Adam (manusia) tanpa berbangga.”

Dalam hadis yang sahih Baginda juga bersabda:

لاتفضلوا بين الأنبياء

“Jangan kamu melebihkan sebahagian nabi (atas sebahagian yang lain)”

Maka para ulamak telah menjawabnya dengan lima jawapan yang masyhur:

1. Nabi Muhamad saw melarang perbuatan tersebut sebelum Baginda mengetahui bahawa Beliau adalah yang terbaik dikalangan para nabi-nabi, apabila mengetahuinya lalu Baginda menyatakan: Aku adalah penghulu sekelian anak Adam (manusia)…

2. Baginda melarang perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada pertengkaran dan permusuhan. Telah sabit di dalam hadis sebab wurud hadis ini kerana seorang muslim telah menampar seorang Yahudi yang melebihkan Musa dari sekelian nabi.

3. Baginda melarang perbuatan tersebut kerana ia boleh membawa kepada mencela nabi yang lain, tetapi bukan kelebihan tertentu, dan ia dikuatkan oleh ayat 55 surah al Isra’ di atas.

4. Nabi menyatakan dengan keadaan tawadhuk (merendah diri).

5. Dilarang tafdhil (melebihkan) itu pada maqam kenabian, bukan pada individu yang menjadi nabi atau pada risalah umum kenabian mereka, atau menambah pada bab yang khusus[1] (khususiyat) mereka. Wallahua’lam.



[1] Telah ijmak umat Islam bahawa sebahagian nabi lebih utama dari sebahagian yang lain, dan adalah Nabi Muhamad saw yang paling utama dari kalangan nabi-nabi. Dalil mereka:

Pertama: Firman Allah swt: (وما ارسلناك إلا رحمة للعالمين )[Tidak Kami utuskan engkau kecuali menjadi rahmat untuk sekelian alam/Al Anbiya:107] maka adalah rahmat kepada seluruh alam itu menjadi kelaziman bahawa menjadi yang terbaik dari sekalian alam.

Kedua: Firman Allah swt: ( ورفعنا لك ذكرك) [dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu/Insyirah:4]. Juga dikatakan sedemikian kerana Allah menggandingkan namaNya dengan nama Nabi Muhamad saw dalam kalimah syahadah, dalam azan, dalam bacaan tahiyat, dan tidak berlaku sebutan sedemikian bagi nabi-nabi yang lain.

Ketiga: Allah swt menggandingkan ketaatan kepadaNya dengan ketaatan kepada Baginda saw( من يطع الرسول فقد أطاع الله) [Barang siapa mentaati ar Rasul (Muhamad) maka dia telah mentaati Allah swt/An Nisa:80], begitu juga janji taatsetia (baiah) kepadaNya dengan janji taatsetia kepada Rasul(إن الذين يبايعونك إنما يبايعون الله )[Sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu sesungguhnya mereka itu telah berbaiah dengan Allah/Al Fath:10], kemulianNya dengan kemulian baginda (ولله العزة ولرسوله )[Dan bagi Allah dan RasulNya segala kemuliaan itu/Al Munafiqun:8], keredhaanNya dengan keredhaan rasulNya ( والله ورسوله أحق ن يرضوه)[padahal Allah dan RasulNya jualah Yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya.../At Taubah:62], menyambut seruanNya dengan menyambut seruan baginda (يا ايها الذين آمنوا استجيبوا لله وللرسول) [Wahai orang-orang Yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya/Anfal:24]

Keempat: Allah swt menyuruh Nabi Muhamad saw mencabar manusia mencipta satu surah seperti Al Quran, firmanNya (فأتوا بسورة من مثله)[ maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu./Al Baqarah:23], diturunkan surah paling pendek iaitu surah Al Kauthar yang mengandungi 3 ayat. Kemudian Allah mencabar manusia mendatangkan satu ayat yang setanding dengan ayat Al Quran, sedangkan telah didatangkan lebih 6000 ayat. Jesteru itu Al Quran bukanlah satu mukjizat, bahkan mengandungi lebih dari beribu-ribu mukjizat.

Apabila telah sabit tentang hal itu, maka Allah swt telah menyebutkan tentang kemulian Nabi Musa dengan 9 ayat yang terang, maka kemuliaan itu lebih kepada Nabi Muhamad saw kerana disebutkan kemuliaannya lebih daripada itu.

Kelima: Mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhamad saw lebih dari sekelian nabi a.s. oleh itu pasti Nabi Muhamad saw lebih kemuliaannya dari nabi-nabi a.s yang lain.

Keenam: Nabi Muhamad saw adalah penutup segala nabi, wajiblah dia yang lebih baik, tidak diterima akal jika penutup segala nabi tidak setara atau lebih mulia dari nabi-nabi sebelumnya.

Ketujuh: Agama yang dibawa oleh Nabi Muhamad saw adalah sebaik-baik agama, maka wajiblah dengan itu Nabi Muhamad saw menjadi sebaik-baik nabi.

No comments:

Post a Comment