Sunday, June 16, 2013

HUKUM BERPUASA PADA 30 SYAABAN JIKA ANAK BULAN TIDAK KELIHATAN

Pendahuluan
Apabila langit terang tanpa berawan, dan manusia tidak nampak akan anak bulan Ramadhan, maka wajib disempurnakan 30 hari bulan Syaaban dengan sepakat ulamak. Adapun ketika langit gelap dan berawan, sehingga anak bulan Ramadhan tidak kelihatan, maka para ulamak berselisih pendapat kepada 3 pendapat:

Hukum Berpuasa
  1. Wajib berpuasa
  2. Tidak wajib dan tiada pahala puasa Ramadhan jika berpuasa
  3. Berpegang dengan ketetapan kiraan Falak.

DALIL ULAMAK
A.      Wajib berpuasa
Mazhab Abdullah bin Umar r.a, Aisyah ra,  Imam Thawus bin Kaisan Al-Yamani (ulama tabiin, murid Ibnu Abbas r.a), Ahmad bin Hanbal.
Ibnu Abdul Bar berkata: adalah Ibnu Umar berkata jika anak buan tidak kelihatan pada malam 30 syaaban, langit cerah maka tidak wajib berpuasa, jika langit gelap dan berawan maka manusia wajib berpuasa dan berpahala dengan pahala puasa Ramadhan.
B.      Tidak wajib dan tidak berpahala jika berpuasa
Pendapat kebanyakan ulamak antaranya Abu Hanifah, Malik, Syafie, juga satu riwayat dari Imam Ahmad.
C.     Berpegang dengan ketetapan kiraan Falak.
Pendapat sebahagian kecil ulamak antaranya Mutraf b Abdullah (ulamak tabiin) dan Ibnu Daqiq.
Ibnu Suraij meriwayatkan bahawa Imam Syafie berpendapat ‘Barangsiapa mazhabnya berpegang dengan kiraan bintang dan bulan (falak), kemudian kuat pendapat mereka kelihatan anak bulan sedang langit dalam keadaan gelap berawan, harus bagi mereka berniat puasa dan berpahala puasa mereka’.
Riwayat ini dinafikan oleh Ibnu Abd Barr: Menurut kitab-kitab Syafie tidak sah iktikad Ramadhan kecuali dengan melihat anak bulan yang pasyiah, saksi yang adil atau menyempurnakan Syaaban 30 hari.
Ibnu Daqiq: Jika hisab falak menunjukkan anak bulan telah keluar di ufuk dengan pandangan yang nyata, jika bukan disebabkan halangan (seperti awan) ia membawa kepada hukum wajib.
Ibnu Subki: Hisab falak boleh diamalkan pada menafikan rukyah bukan pada mengithbatkan rukyah. Jika seseorang mendakwa melihat hilal sedang hisab falak menafikan kemungkinan itu maka syahadah lelaki tadi ditolak.

SEBAB KHILAF
Punca perselihan adalah pada tafsir maksud hadis ‘اقدروا له’.
1.       Jumhur ulamak: Bermaksud sempurnakan bilangan Syaaban 30 hari.
2.       Ibnu Umar: Rasulullah saw telah membezakan antara hukum langit yang cerah dengan langit yang mendung berawan.
3.       Maksudnya maka takdirkan ia dengan takdir hisab falak bulan. Kata Ibnu Suraij ’Maka hitunglah’ ditujukan kepada pakar dalam bidang falak, manakala hadis ‘sempurnakan 30 hari’ ditujukan kepada orang awam.
Pendapat Ketiga ini lemah berdasarkan beberapa hujah:
i.                     Kata Ibnu Taimiyah pendapat ini syaz kerana jumhur ulamak Islam dahulu dan sekarang beramal dengan rukyah. Ijmak ulamak khilaf pendapat yang syaz ini.
ii.                   Bertentangan dengan hadis riwayat Bukhari:
إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب، الشهر هكذا وهكذا، يعني مرة تسعة وعشرين ومرة ثلاثين
Kami adalah umat yang tidak menulis dan tidak mengira, satu bulan adalah tempoh demikian (iaitu kadangkala 29 hari kadangkala 30 hari)
iii.                 Maksud ‘اقدروا لهdengan hisab falak tidak tepat dari segi bahasa, yang tepat adalah dengan maksud hadis diatas.
iv.                 Jumhur berpendapat tidak wajib puasa melainkan dengan yakin kita telah keluar dari bulan Syaaban. Yakin dengan dua jalan iaitu rukyah hilal atau dengan cukup 30 hari Syaaban.
Nota:
Malaysia menggunakan  kaedah rukyah anak bulan Qomariyah  berdasarkan data hisab yang disediakan oleh ahli falak @ Jabatan ukur dan pemetaan Malaysia. Setiap akhir bulan qomariyah, urusetia di cawangan falak Jakim dan jabatan mufti akan pergi melihat anak bulan baru di tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa agama Negeri pada petang 29 Sya'aban untuk  tentukan anak  bulan Ramadan. Jika kelihatan mereka akan tentukan hari berikutnya permulaan Ramadan.
Andaikata anak bulan ramadan tidak kelihatan  kerana tidak cukup syarat  Istanbul pada tahun 1978, yang menetapkan umur anak bulan mesti 8 Jam, ketinggian anak bulan di atas ufuk mesti 2 darjah dan jarak lengkung mesti 3 darjah. Maka hari berikutnya digenapkan menjadi 30 Sya'aban. Selepas itu baharulah dimulaikan puasa Ramadan.

Begitu juga untuk tentukan awal Syawal, para pegawai dan petugas akan ke lokasi lihat anak bulan untuk lihat anak bulan berdasarkan data perkiraan hisab pada petang 29 Ramadan. Setelah melihat syarat dan perkiraan hisab ternyata mencukupi maka hari berikutnya diistiharkan raya walaupun semasa melihat anak bulan tidak kelihatan.Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment