Saturday, February 26, 2011

5 PERKARA YANG SIA-SIA

Sebahagian ulamak berkata: 5 perkara menjadi sia-sia jika dilakukan pada tempat yang sia-sia:

1. Menyalakan lampu di bawah matahari

2. Mencurahkan/menyiram air pada tanah yang kering kontang

3. Mengahwinkan perempuan yang baik kepada seorang lelaki yang hidup melarat

4. Makanan yang dimasak dengan enak lalu dihidangkan kepada orang mabuk, dan

5. Melakukan kebaikan kepada orang yang tidak tahu bersyukur.

MAKNA SYUKUR

Berkata Imam Joned Al Baghdadi:

- Darjat takbur yang paling tinggi dengan menunjuk-nunjukkan kelebihan diri, dan darjat takbur yang paling rendah apabila ia melintasi hati kamu akan kelebihan diri kamu.

- Takbur itu apabila kamu melihat bahawa diri kamu adalah yang paling layak dengan sesuatu nikmat.

- Ketika aku berumur 7 tahun, seorang syeikh yang sedang dikerumuni murid-muridnya bertanya kepadaku: “Wahai anak, apakah maksud syukur?” Aku menjawab: “Engkau tidak melakukan maksiat dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kamu.” Lalu syeikh itu berkata: “Aku dapat mengagak bahawa Allah akan mengurniakan kebaikan kepada kamu dengan lidah kamu.” Lalu aku menangis dan menyesal dengan ucapan aku tadi (kerana berat tanggungjawab untuk bersyukur tersebut).


KEDUDUKAN SYUKUR

Syukur itu tiga kedudukan:

1. Syukur kepada Yang Diatas dengan mentaatiNya.

2. Syukur kepada yang setaraf dengan memberi balasan kepadanya, dan

3. Syukur kepada yang rendah kedudukannya dengan bermurah hati kepadanya.

BERBAKTILAH KEPADA IBU BAPA

Abdullah bin Umar ra berkata seorang lelaki datang menemui Rasulullah saw dan berkata: “Ya Rasulullah! Aku telah diuji dengan ditimpa dosa yang sangat besar, adakah apa-apa cara aku boleh mendapat taubat?”

‘Adakah kamu mempunyai ibu?’ Tanya Rasulullah saw. ‘Tidak.’ Jawab lelaki tadi. ‘Adakah kamu masih mempunyai ibu saudara?’ Rasulullah saw bertanya lagi. ‘Ya saya masih mempunyai ibu saudara Ya Rasulullah.’

‘Berbaktilah kepadanya nescaya diampunkan dosa kamu.’

Pada suatu hari Ibnu Umar ra berkata kepada seorang lelaki: “Adakah kamu takut dimasukkan ke dalam neraka? Dan adakah kamu suka dimasukkan ke dalam syurga?”. Lalu lelaki tersebut menjawab: “Sudah pasti wahai Abdullah!”. Ibnu Umar lalu menyarankan:

“Berbaktilah kepada ibumu, Demi Allah! Jika kamu berbicara dengan lembut kepadanya, kamu berikan dia makan suatu makanan, nescaya kamu akan masuk syurga selama mana kamu menjauhi dosa-dosa yang besar.”

Umar al Khattab ra diriwayatkan telah berkata: Seorang lelaki datang menemuinya dan berkata: “Ya Umar! Aku telah membunuh seseorang, adakah dosaku akan diampunkan?”

“Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Umar menyoal kembali. “Tidak! Wahai Umar.” “Adakah ayah kamu masih hidup?” Umar kembali bertanya. “Ya! Wahai Umar.” “Berbuat bakti kepadanya dan berlaku baik kepadanya.”

Kemudian Umar berkata: “Jika ibunya masih hidup lalu dia berbakti dan berbuat baik kepadanya, aku berharap api neraka tidak akan menyentuhnya selama-lamanya.”

Imam Ahmad bin Hanbal ra berkata: “Berbakti kepada ibu bapa itu menjadi penghapus bagi dosa-dosa besar”.

Diantara keindahan berbakti kepada ibu, diriwayatkan Imam Zainul Abidin ra seorang yang sangat berbakti kepada ibunya, sehinggakan seseorang pernah bertanya kepadanya: “Aku melihat engkau sangat berbakti kepada ibumu, tetapi kami tak pernah melihat engkau makan bersama dengan ibumu?”

“Aku takut tangan aku terlalu cepat mengambil satu lauk, sedangkan ibu aku telah berhajat untuk menjamahnya, lalu aku menjadi anak yang derhaka kepadanya.” Jawab Imam Zainul Abidin ra.

Thursday, February 24, 2011

4 PILIHAN DAN KELEBIHAN

Imam An Nasafi ra dan lain-lain telah berkata: Bahawa Allah swt berfirman:

Allah telah memilih dari alam ini empat perkara:

Air, Api, Angin dan Tanah. Adapun Air ia sebagai pembersih untuk engkau, Api untuk memasak makanan engkau, Angin untuk nafas engkau, dan Tanah sebagai tempat sujud (masjid) engkau.

Allah telah memilih dari kalangan malaikat empat malaikat:

Jibril sebagai penyampai wahyu kepadamu, Mikail sebagai penyimpan nikmat engkau, Israfil sebagai empunya sangkala kamu, dan Izrail sebagai pencabut nyawamu.

Allah telah memilih dari kalangan nabi-nabi empat rasul:

Ibrahim a.s sebagai bapa nabi-nabi, Musa a.s sebagai saudara nabi kamumu, Isa a.s sebagai penyampai berita gembira tentang perutusan nabi kamu, dan Muhamad saw sebagai penolongmu (pemberi syafaat), selawat dan salam keatas mereka semunya.

Allah telah memilih dari kitab-kitab itu empat kitab:

Taurat sebagai kebanggaan kamu, Injil sebagai kemuliaan kamu, Zabur sebagai peringatan untuk kamu dan Al Quran sebagai pelindung kamu (dari api neraka)

Allah telah memilih untuk kamu empat kiblat:

Arasy sebagai tempat letak doa-doa kamu, Kursi sebagai tempat rahmat bagi kamu, Bait Al Makmur sebagai tempat dinaikkan amalan kamu dan Kaabah sebagai kiblat solat kamu.

Allah telah memilih dari bulan-bulan itu empat bulan bagi kamu:

Muharram sebagai kehormatan kamu, Rejab untuk ibadat kamu, Syaaban untuk menambahkan kekenyangan kebaikan kamu dan Ramadhan sebagai menghanguskan dosa-dosa kamu.

Allah telah memilih dari kalangan sahabat nabimu empat orang:

Abu Bakr ra sebagai sahabat yang sentiasa membenarkan kamu, Umar ra sebagai penjulang untuk agama kamu, Othman ra sebagai pembuka kota-kota untuk kamu dan Ali ra sebagai pahlawan nabi kamu.

Allah telah memilih dari ucapan makhluk itu empat ucapan:

Subhanallah’ sebagai semaian untuk syurga kamu, Alhamdulillah’ sebagai penyempurna nikmat kepada kamu, ‘Lailahaillah’ sebagai asal usul keimanan kamu, dan Allah Akbar’ sebagai pembuka solat kamu.

Allah telah memilih dari syurga itu empat tempat:

Syurga Firdaus sebagai tempat bertamu, Syurga Ma’wa sebagai tempat kekal, Syurga Aden sebagai tempat tinggal dan Syurga Naim sebagai tempat balasan.

KELEBIHAN ILMU FEQAH


Abu Ibrahim Al Muzanni ra berkata: Suatu hari aku duduk di sisi Imam As Syafie, lalu aku bertanya tentang satu masalah dalam ilmu kalam. Lalu beliau mendengar soalanku dengan teliti kemudian melihat kepada aku, barulah beliau menjawab soalan tersebut dengan jawapan yang sangat padat dan bernas, apabila selesai penerangannya lalu beliau berkata kepadaku: “Wahai anak, mahukah kamu aku tunjukkan akan sesuatu yang lebih baik dari persoalan tadi?”. “Sudah pasti mahu Wahai Guru!”. Lalu beliau berkata: “Wahai anak, ilmu ini (ilmu kalam) jika engkau betul berijtihad dalamnya maka engkau tidak diganjari pahala, jika silap maka kamu akan terjatuh dalam kekufuran. Mahukah aku beritahu suatu ilmu jika engkau betul maka akan diberi pahala dan jika engkau silap tidak akan berdosa”. “Apakah ilmu tersebut wahai tuan?” Aku bertanya. “Ilmu Fiqh”. Maka aku belajar darinya ilmu Fiqh sehingga aku mampu mengajarnya pula.

Friday, February 18, 2011

BICARA TENTANG NIAT

Ibnu Ajlan ra berkata: “Tidak menjadi sempurna sesuatu amalan itu melainkan dengan tiga perkara; Bertaqwa kepada Allah, Niat yang baik dan Ganjaran pahala.”

Abdullah bin Mubarak ra pula berkata: “Amalan yang kecil (atau sedikit) itu boleh menjadi besar disebabkan oleh niat, dan amalan yang besar (atau banyak) boleh menjadi kecil disebabkan oleh niat.”

Berkata sebahagian ulamak salaf: “Barangsiapa suka menyempurnakan amalannya maka baikkanlah niatnya, kerana Allah swt memberi pahala kepada hambaNya apabila baik niatnya dengan satu suapan.”

Dari Mutarrif bin Abdullah menyatakan: “Hati menjadi baik dengan baiknya amalan, Amalan menjadi baik dengan niat yang baik.”

Wednesday, February 16, 2011

PENGHORMATAN KEPADA ULAMAK


  1. Syeikh Syamsudin Ad Derouti apabila berjalan melalui hadapan seorang yang faqih (ulamak feqah), beliau akan turun dari kenderaannya dan meminta izin lalu di depannya, beliau akan mencium tangan ulamak tersebut kemudian beliau tidak naik semula kenderaannya melainkan setelah jauh dan terlindung oleh bangunan atau seumpamanya, sedangkan beliau sendiri terlalu tinggi ilmunya dan beliau adalah penulis yang mensyarahkan kitab ‘Al Minhaj’ dan lain-lainnya.
  2. Seorang ulamak yang bernama Sahl bin Abdullah al Tustari menemui Imam Abu Daud ra (Pengupul hadis kitab Sunan Abi Daud), lalu diberitahu kedatangannya, “Wahai Abu Daud! Tuan Sahl bin Abdullah telah datang untuk menziarahi tuan”. “Dipersilakan masuk dan duduk dengan hormatnya”, jawab Abu Daud. Lalu berkata Sahl: “Wahai Abu Daud! Aku mempunyai hajat kepada kamu?”, “Apakah maksud hajat tersebut?” Abu Daud bertanya kembali. “Aku tidak akan menyebutnya sehingga kamu katakan, kamu akan menunaikannya dengan kamampuan kamu”, Sahl menyoal kembali. Abu Daud menjawab: “Ya! Aku akan tunaikan sekadar kemampuanku”. Sahl bin Abdullah berkata: “Keluarkanlah lidahmu yang sering mengucapkan dan membicarakan hadis-hadis Rasulullah saw sehingga dapat aku menciumnya.” Lalu Abu Daud mengeluarkannya dan dicium oleh Sahl bin Abdullah sebagai penghormatan kepada ulamak tersebut.
  3. Ibnu Abi Zizad meriwayatkan bahawa: Umar Al Khattab dan Othman bin Affan ra tidak pernah lalu didepan Abbas bin Abdul Mutalib dengan menaiki kenderaan melainkan kedua-duanya akan turun berjalan bersama sebagai menghormati akan Al Abbas (Bapa Saudara Nabi saw).
  4. Asy Sya’bi ra meriwayatkan: Suatu hari Abdullah Ibnu Abbas ra memegang kuda tunggangan Zaid bin Harithah ra, lalu Zaid bertanya: “Wahai Abdullah! Kenapa engkau pegang tali kudaku sedangkan engkau adalah sepupu Rasulullah saw?” Lalu Abdullah menjawab: “Beginilah cara kami menghormati para ulamak.”

Sunday, February 13, 2011

Lima Kegelapan Dan Cahayanya

Abu Bakr As Siddiq ra berkata: Kegelapan itu ada lima, dan setiap satu ada lampunya:
  1. Dosa itu adalah kegelapan, manakala lampunya adalah dengan bertaubat.
  2. Kubur itu adalah kegelapan, manakala lampunya adalah mendirikan solat.
  3. Mizan (Neraca timbangan amal) itu adalah kegelapan, manakala lampunya adalah 'La ilaha illah'.
  4. As Sirat itu adalah kegelapan, manakala lampunya adalah keyakinan.
  5. Negeri akhirat itu adalah gelap, manakala lampunya adalah amalan yang soleh.

Friday, February 11, 2011

MEMBANYAKKAN KEBAIKAN

Imam Muslim ra meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra:
Rasulullah saw bertanya: "Siapakah dikalangan kamu hari ini yang BERPUASA?" Lalu Abu Bakr menjawab: "Saya Ya Rasulullah".
Rasulullah saw bertanya sekali lagi: "Siapakah yang ada MENGIRINGI JENAZAH pada hari ini?" Lalu Abu Bakr menjawab: "Saya Ya Rasulullah".
Dan Rasulullah saw bertanya buat kali ketiga: "Siapakah dikalangan kamu hari ini ada MENZIARAHI ORANG SAKIT?" Lalu Abu Bakr sekali lagi menjawab: "Saya Ya Rasulullah".
Lalu Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang melakukan tiga perkara ini dalam satu hari, nescaya tiada tempat untuknya melainkan di syurga".

MANUSIA DAN MASA

Rabiah Al Adawiyah pernah berkata kepada Imam Sufian At Thauri: Dirimu dan kehidupanmu adalah hari-hari yang tertentu, apabila berlalu satu hari, maka sebahagian dari dirimu telah hilang dan pergi, maka apabila sebahagian telah pergi maka sebahagian yang tinggal juga akan turut pergi, engkau amat mengetahui akan hal tersebut oleh itu perbanyakkanlah membuat amal yang soleh.

Seorang ulamak Salem bin Ayyub Ar Razi tidak pernah sunyi waktu dari sebarang kegiatan kecuali dengan perkara yang berfaedah, jika beliau tidak menulis kitab maka masa itu digunakan untuk membaca Al Quran atau bertasbih.

Wahab bin Munabbih berkata: Aku dapati di dalam Zabur dinyatakan, seharusnya bagi orang yang berakal tidak menyibukkan dirinya dari empat waktu:
  1. Waktu untuk bermunajat dengan Tuhannya
  2. Waktu untuk muhasabah (refleksi) diri
  3. Waktu untuk kawan-kawannya yang boleh menasihatinya dalam agamanya, dan membetulkan keaiban dirinya, dan
  4. Waktu bersunyi-sunyian dengan isteri-isterinya, waktu ini seharusnya dapat menampung ketiga-tiga waktu tadi, serta memberi nikmat dalam kehidupan dan kerehatan bagi hati

DOA MENERIMA PUJIAN


Imam An Nawawi ra meriwayatkan:
Saiyidina Abu Bakr As Siddiq ketika menerima suatu pujian dari manusia, lalu dia berkata:
"Ya Allah! Engkau lebih mengetahui tentang diriku dari diriku sendiri, dan aku lebih tahu tentang diriku daripada mereka. Ya Allah! Kau jadikanlah diriku lebih baik dari apa yang mereka sangka, dan ampunkanlah dosa-dosaku tentang apa yang tidak mereka ketahui, dan janganlah Engkau siksakan aku dengan sebab apa yang telah mereka perkatakan."

KEKUASAAN YANG HAKIKI


Suatu hari Khalifah Harun Ar Rasyid datang ke Riqqah, maka tiba-tiba manusia berlari mengerumuni seorang ulamak iaitu Abdullah bin Mubarak kerana seliparnya telah terputus, lalu debu berterbangan disebabkan ramainya manusia.
Ketika itu ibu Khalifah menaiki menara di kawasan tersebut dan melihat debu serta manusia yang berkerumun, lalu bertanya: "Apa yang berlaku?".
Sebahagian penduduk Riqqah menjawab: "Seorang ulamak dari Khurasan telah datang, khabarnya dia adalah Abdullah bin Mubarak!"
Lalu ibu Khalifah membalas: "Demi Allah! dialah raja yang berkuasa, tiada kekuasaan Harun Ar Rashid yang hanya mampu mengumpulkan manusia kecuali dengan bantuan polis dan pembantu-pembantunya".

AHLI ILMU

Umar Abdul Aziz ra pernah berkata:
  1. Jika kamu mampu jadilah seorang yang berilmu (dan mengajar manusia dengan ilmu tersebut)
  2. Jika kamu tidak mampu, maka jadilah seorang penuntut ilmu (pelajar)...
  3. Jika kamu tidak mampu, sayangilah kedua-dua golongan itu...dan
  4. Jika kamu tidak mampu juga, maka janganlah kamu membenci mereka.

JENAKA SEORANG QADHI


Abd Razzak ra menyebutkan dalam kitab 'Al Musannif': Saiyidina Ali Abu Talib ra didatangi seorang lelaki, lalu bertanya tentang suatu masalah hukum, katanya: "Wahai Ali! seorang lelaki mendakwa bahawa dia bermimpi telah berzina dengan ibuku, apakah hukuman untuknya?". Lalu Saiyidina Ali mengarahkan: "Bawalah dia dan jemurkan dibawah matahari, dan kamu sebatlah bayang-bayangnya seratus kali."

Tuesday, February 8, 2011

MUAFAQAH KATA UMAR RA DENGAN AL QURAN

Saiyidina Umar ra pernah mengatakan: Aku telah sepakat dengan kalam tuhanku pada 3 tempat:
1. Aku menyarankan kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, jikalaulah kita dapat menjadikan Maqam Ibrahim sebagai musalla (tempat solat). Maka turunlah ayat: (Al Baqarah:125)
وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْناً وَاتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat Yang aman; dan Jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang.

2. Aku berkata: “Ya Rasulullah! Telah masuk menemui isteri-isterimu orang yang baik dan juga mereka yang jahat, apakah sesuai diperintahkan isterimu berhijab, lalu turun ayat: (Al Ahzab:53)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلَّا أَن يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَى طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانتَشِرُوا وَلَا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنكُمْ وَاللَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعاً فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاء حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَن تَنكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِن بَعْدِهِ أَبَداً إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ عِندَ اللَّهِ عَظِيماً

Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu masuk ke Rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan Dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu Yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang Dengan berbual-bual. Sesungguhnya Yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. dan apabila kamu meminta sesuatu Yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. cara Yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin Dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya Segala Yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.

3. 3. Isteri-isteri Nabi ra telah berkumpul kerana cemburu, lalu aku berkata: “Mudah-mudahan jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri Yang lebih baik daripada kamu,” Maka turunlah ayat: (At Tahrim:5)

عَسَى رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُ أَزْوَاجاً خَيْراً مِّنكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُّؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَاراً

Mudah-mudahan jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri Yang lebih baik daripada kamu, - Yang menurut perintah, Yang ikhlas imannya, Yang taat, Yang bertaubat, Yang tetap beribadat, Yang berpuasa, - (meliputi) Yang janda dan Yang anak dara.

Imam As Suyuti juga meriwayatkan muafaqah kata-kata Saiyidina Umar dengan kalam Allah ketika turunnya ayat: (Al Mukminun:12)

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ{12} ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ{13} ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَاماً فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْماً ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقاً آخَرَ

dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;

lalu Umar berkata: فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ “Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”.

lalu turun ayat: (Al Mukminun:14)

فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Juga diturunkan ayat: (Al Baqarah:97-98)

مَن كَانَ عَدُوّاً لِّلّهِ وَمَلآئِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللّهَ عَدُوٌّ لِّلْكَافِرِينَ

98. sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari Segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana Sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

Seorang yahudi bertemu dengan Umar ra dan berkata: Sesungguhnya Jibril yang disebutkan oleh sahabatmu saw adalah musuh bagi kami. Maka berkata Saiyidina Umar: “Sesiapa memusuhi Allah, Malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

Imam An Nawawi dalam kitab ‘At Tahzib’ menyebutkan: Turun Al Quran bertepatan dengan lafaz Saiyina Umar di dalam peristiwa tahanan Badar, tentang hijab isteri Rasulullah ra, tentang maqam Ibrahim dan ayat berkaitan tentang pengharaman arak.

ABU BAKR AS SIDDIQ PADA NERACA PARA SAHABAT R.A


Saiyidina Umar Al Khattab ra berkata: "Aku amat berharap kalaulah aku salah satu bulu roma di dada Abu Bakr". (supaya sentiasa dekat mendampinginya)

Saiyidina Ali Abi Talib ra berkata: "Demi Allah tidak pernah kami berlumba-lumba mengejar kebaikan melainkan Abu Bakr akan mendahului kami".

Beliau juga berkata: "Abu Bakr diberikan nama oleh Allah sebagai As Siddiq melalui lisan Jibril a.s. dan lisan Nabi Muhamad saw, beliau adalah khalifah Rasulullah ketika solat, maka kami redha beliau memimpin kami dalam urusan akhirat kami begitu juga kami redha beliau memimpin kami dalam urusan dunia kami."